SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Selangor komited memperkemas strategi serta memperkukuh kesiapsiagaan jentera di peringkat akar umbi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesepaduan utuh antara tiga parti komponen iaitu KEADILAN, AMANAH dan DAP kekal menjadi tunjang utama kekuatan pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor memberitahu, perkara tersebut ditegaskan semasa Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemukiman Pakatan Harapan (PH) Selangor 2026 yang menghimpunkan para perwakilan petang tadi.
”Menerusi pemukiman ini, kami menyelaraskan gerak kerja, memperkemas strategi serta memperkukuh kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan selepas program berkenaan.
Mengulas lanjut, Amirudin menyeru seluruh anggota PH Selangor supaya terus berganding bahu dan mengutamakan khidmat kepada rakyat tanpa mengira agama, kaum mahupun latar belakang.
Beliau menegaskan, prinsip bahawa ‘tiada sesiapa yang tertinggal’ harus dijadikan pedoman utama agar setiap kemajuan dan kemakmuran yang dicapai di Selangor dapat dinikmati bersama oleh segenap lapisan masyarakat.
”Kita membawa rekod prestasi cemerlang dalam pentadbiran, dasar dan polisi yang bermanfaat kepada rakyat serta kejayaan serta kemajuan ekonomi buat pertimbangan rakyat Negeri Selangor dalam membuat pilihan,” jelasnya.
Sebagai Pengerusi PH Selangor, Amirudin berharap perpaduan antara parti gabungan akan terus diperkukuh serta diterjemahkan secara nyata melalui gerak kerja yang tersusun demi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri ini.










