​SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon mengemukakan surat terbuka kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bagi menuntut penjelasan serta penyelarasan menyeluruh urusan pentadbiran susulan pembatalan pelantikan sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri itu yang berkuat kuasa pada 20 September 2026.
​Beliau yang juga Ketua Wanita DAP Negeri Sembilan berkata, langkah penyelarasan itu amat penting bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri berjalan lancar serta mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan penjawat awam dan rakyat.
​”Dalam keadaan yang agak luar biasa ini, kejelasan pentadbiran amat penting bukan sahaja kepada penjawat awam, tetapi juga kepada rakyat, supaya segala urusan Kerajaan Negeri dapat diteruskan tanpa kekeliruan,” kataya dalam surat terbuka dalam hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
​Antara perkara utama yang dibangkitkan merangkumi prosedur pelaksanaan berkaitan kenderaan serta aset rasmi Kerajaan Negeri yang sebelum ini diperuntukkan kepada jawatan Ahli MMK terbabit, di samping penyelarasan kemudahan akses rasmi termasuk pejabat, kad akses, dan kemudahan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT).
​Jabatan dan agensi kerajaan negeri turut diseru agar menyemak semula bahan rasmi seperti papan tanda, billboard, laman sesawang serta media sosial supaya kandungannya sentiasa mencerminkan struktur pentadbiran terkini.
​Nicole Tan juga menegaskan keperluan pemakluman rasmi kepada ketua-ketua jabatan bagi memastikan saluran arahan diteruskan secara teratur, selain mempertanyakan mekanisme pengurusan portfolio sementara menunggu sebarang pelantikan baharu dibuat.
​”Saya mengemukakan persoalan ini dengan penuh hormat dan semata-mata dari sudut tadbir urus serta kelancaran pentadbiran Negeri,” jelasnya.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa pihak Setiausaha Kerajaan Negeri akan memastikan segala penyelarasan dilaksanakan dengan teratur, profesional dan selaras dengan kedudukan undang-undang semasa.










