KUALA LUMPUR, Peminat bola sepak tempatan berpeluang mengikuti perjuangan skuad negara dalam FIFA ASEAN Cup 2026 apabila lima perlawanan terpilih kejohanan itu disiarkan secara langsung menerusi RTM.
Siaran berkenaan merangkumi tiga aksi peringkat Kumpulan A membabitkan pasukan Malaysia, selain perlawanan penentuan tempat ketiga dan final.
Kesemua aksi terpilih boleh disaksikan menerusi Saluran Sukan RTM bermula 25 September.
Penyiaran kejohanan itu direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara RTM selaku Penyiar Rasmi dengan YTL Corporation Berhad yang tampil sebagai penaja utama siaran.
Kerjasama itu sekali gus membuka akses lebih luas kepada rakyat untuk mengikuti antara kejohanan bola sepak utama rantau ASEAN, khususnya aksi membabitkan skuad kebangsaan.
Usaha YTL tampil menyokong penyiaran kejohanan berkenaan turut memperlihatkan bagaimana penglibatan sektor korporat mampu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, khususnya peminat sukan tanah air.
Inisiatif seumpama itu dilihat sebagai satu bentuk sokongan positif sektor swasta terhadap pembangunan ekosistem sukan negara, bukan sahaja melalui penajaan acara, malah dengan membantu memperluas akses rakyat kepada kandungan sukan berkualiti.
Kerjasama antara penyiar nasional dan sektor korporat juga boleh menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyiaran acara sukan berprofil tinggi pada masa hadapan, sekali gus membolehkan rakyat mengikuti kejohanan penting tanpa terlepas aksi melibatkan pasukan negara.
Bagi RTM, kerjasama itu selari dengan peranannya dalam menyediakan kandungan sukan yang relevan dan berkualiti untuk dinikmati segenap lapisan masyarakat.










