​‘Apa Sudah Jadi Pakatan Harapan?’ – Ambiga Terkejut Aktivis Mandiri Ditahan

​KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan meluahkan rasa terkejut dan hilang sabar terhadap tindakan pentadbiran kerajaan hari ini berikutan penahanan dua pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi dan Dobby Chew, yang direman selama tiga hari dua malam baru-baru ini.

​Berucap dalam satu perhimpunan solidariti malam tadi, Ambiga secara terbuka menyelar kepimpinan kerajaan yang dituduhnya mengamalkan salah guna kuasa, sambil mengingatkan kembali bagaimana golongan pemimpin tersebut pernah bersama-sama mereka di jalan raya menuntut keadilan pada masa lalu.

​”What is wrong with you, Pakatan Harapan? Remand is not a punishment, so not supposed to be a punishment. Shame on you, Pakatan Harapan!”

​”Apa sudah jadi dengan kamu, Pakatan Harapan? Reman bukanlah satu hukuman, dan ia tidak sepatutnya dijadikan hukuman. Malulah pada diri kamu, Pakatan Harapan,” ujar Ambiga dengan nada tegas di hadapan penyokong yang hadir.

​Beliau menegaskan bahawa tindakan pihak berkuasa menahan Amir dan Dobby di bawah peruntukan undang-undang berkaitan pengubahan wang haram (AMLA) sebagai satu bentuk penindasan dan intimidasi kuasa yang tidak boleh diterima sama sekali.

​Ambiga turut mengimbas kembali memori ketika mereka bersama-sama ditahan pihak berkuasa pada era perjuangan lalu, di mana pemimpin-pemimpin yang kini berada di blok kerajaan pernah merasai proses penahanan yang sama.

​”Kamu berjalan dengan kami, kamu ditangkap bersama kami. Saya masih ingat ditangkap bersama pemimpin Pakatan Harapan.

“Kamu lalui proses yang sama, penderaan reman yang sama. Dan sekarang, bagaimana kamu tergamak melakukan perkara ini kepada kami?” soalnya.

​Beliau menyifatkan tindakan mengheret individu yang selama ini konsisten memperjuangkan hak rakyat ke muka pengadilan dengan cara reman sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan yang pernah diberikan rakyat kepada mereka.

Ambiga turut memberi amaran bahawa tindakan menindas suara-suara kritikal dan aktivis reformasi tidak akan menjamin sokongan rakyat, malah boleh memakan diri pada masa depan.

​”Jangan beritahu kami kamu tidak memberi sebarang alasan yang baik mengapa kami harus mengundi kamu apabila kamu melakukan perkara sebegini.

“Kamu tidak akan memenangi sebarang undi daripada kami dengan cara ini,” tegasnya.

​Beliau mendesak agar pihak berkuasa segera menghentikan amalan menggunakan undang-undang untuk menekan pihak yang berbeza pandangan serta menuntut agar keadilan ditegakkan secara telus tanpa sebarang elemen penyalahgunaan kuasa politik.

BBerkaitan

Latest articles