Anwar Tunggu Surat Rasmi Loke, Status Dalam Kabinet Masih Tergantung

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menunggu surat rasmi daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berhubung hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Anwar berkata, beliau belum menerima surat berkenaan dan hanya akan menentukan langkah seterusnya selepas dokumen rasmi itu diserahkan.

“Tunggu surat (daripada Loke),” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menghadiri Himpunan Mesra Alumni UiTM Bersama Perdana Menteri di Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini.

Perkembangan itu bermakna kedudukan Loke dalam Jemaah Menteri masih belum berubah secara rasmi, meskipun beliau sebelum ini menegaskan keputusan untuk berundur daripada Kabinet adalah muktamad.

Pada 23 September lalu, Loke berkata surat peletakan jawatan akan diserahkan kepada Anwar selepas beliau kembali ke tanah air daripada lawatan kerja di China.

Keputusan berkenaan dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September, susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam keputusan itu, Loke menjadi satu-satunya anggota Kabinet daripada DAP yang menawarkan diri untuk berundur, manakala menteri dan timbalan menteri parti itu yang lain kekal dalam kerajaan.

Anwar sebelum ini meminta Loke mempertimbangkan semula keputusan berkenaan serta mengingatkan supaya perkara itu tidak diputuskan secara tergesa-gesa.

Dalam perkembangan berasingan, Anwar tidak mahu mengulas lanjut mengenai tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menggantung semua kegiatan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, Perdana Menteri menyerahkan penjelasan berhubung perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

JPPM sebelum ini mengesahkan semua kegiatan PN digantung berkuat kuasa 23 September di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.

Tindakan itu dibuat selepas JPPM mengeluarkan notis kepada PN pada 22 September bagi mendapatkan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu.

Bagaimanapun, JPPM menegaskan penggantungan berkenaan bukan bermaksud pendaftaran PN dibatalkan. Gabungan itu diberikan tempoh munasabah untuk menjawab notis dan memberikan penjelasan berhubung aduan berkenaan.

Antara perkara yang dibangkitkan Bersatu ialah dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta isu berkaitan kedudukannya sebagai anggota gabungan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles