Sanusi Beri Amaran Jangan Pergunakan PAS Demi Kepentingan UMNO

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, memberi amaran UMNO sebagai alat untuk mencapai kepentingan politik parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sanusi menegaskan sebarang usaha membentuk kerjasama politik dengan PAS perlu berlandaskan keikhlasan dan tanpa agenda tersembunyi, selain menuntut setiap pihak yang mahu berpakat supaya bersedia melakukan pengorbanan.

“Kami pun pandailah. Betul, kami ikhlas, tapi kami tak bodoh.

“Jangan pergunakan saya untuk kepentingan parti anda, tetapi kita sama-sama ikhlas untuk jalin kerjasama tanpa ada agenda tersembunyi,” katanya seperti dipetik Kedah Online dalam hantaran yang turut dikongsinya di Facebook.

Kenyataan itu dibuat ketika rundingan antara parti-parti politik bagi menghadapi PRN Melaka menjadi perhatian, khususnya selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dilaporkan berkata rundingan untuk membentuk kerjasama politik masih belum bermula.

Sanusi turut memberi gambaran bahawa kerjasama dengan PAS tidak boleh hanya menguntungkan sebelah pihak, sebaliknya memerlukan kesediaan untuk berkompromi dan berkorban.

Isu pembahagian kerusi turut menjadi antara perkara yang berpotensi mempengaruhi rundingan apabila Rauf pada 27 Ogos lalu mengumumkan BN akan mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya sebelum ini.

Menurut laporan Bernama, Rauf sebelum ini menegaskan 21 kerusi berkenaan tidak akan dikompromi dan menjadi syarat utama sekiranya mana-mana pihak mahu menjalin kerjasama dengan BN.

Namun, dalam kenyataan yang dilaporkan Sinar Harian semalam, Rauf dilaporkan berkata 21 kerusi itu adalah “hak kita”, manakala kerusi lain masih boleh dirundingkan.

Sebelum pembubaran DUN Melaka, BN mempunyai 20 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) menguasai tiga kerusi.

BBerkaitan

Latest articles