KUALA LUMPUR: Remaja yang didakwa membunuh rakan sekolahnya di Bandar Utama tahun lalu pernah menyerang ibu kandung serta dua rakan sekelas sebelum kejadian itu, menurut laporan pakar psikiatri forensik.
Pakar Perunding Kanan Psikiatri Forensik, Dr Ian Lloyd Anthony, berkata kejadian berkenaan berlaku ketika remaja dikenali sebagai L sedang menjalani sesi kaunseling di sekolah, namun usaha berkenaan didapati tidak berhasil.
Menurut laporan Anthony, L pernah menolak ibunya sehingga terjatuh dan kepala wanita itu terhantuk ketika cuba memeriksa beg sekolahnya.
Remaja terbabit turut menyerang dua rakan sekelas selepas menyangka mereka berniat mencederakannya.
Perkara itu didedahkan menerusi alasan penghakiman Mahkamah Tinggi yang membawa kepada keputusan melepas dan membebaskan L daripada pertuduhan membunuh atas alasan tidak siuman.
Berdasarkan fakta yang dikemukakan sepanjang perbicaraan, L berdepan mangsa di sebuah kubikel tandas sekolah sebelum mangsa cuba melawan dan melarikan diri.
L kemudian menolaknya kembali ke dalam kubikel sebelum menikam mangsa.
Jeritan mangsa menarik perhatian beberapa guru yang segera berusaha memberikan bantuan.
Dalam penilaiannya, Anthony mendiagnosis L menghidap skizofrenia dengan ciri-ciri psikopatik dan sadistik.
Penilaian itu dibuat selepas L diperhatikan secara berterusan di wad selama kira-kira tiga bulan, selain menjalani pemeriksaan psikiatri secara berkala.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Adlin Abdul Majid, menerima dapatan Anthony mengenai keadaan mental dan pemikiran L ketika kejadian.
Menurut hakim, penilaian berkenaan turut disokong pelbagai sumber bebas termasuk kertas pertuduhan, pemerhatian jururawat, temu bual keluarga, lawatan serta sesi temu bual di sekolah, ujian psikologi, EEG dan imbasan CT.
“Pada pandangan saya, laporan ini bukan sekadar pernyataan pendapat kosong semata-mata,” katanya.
Adlin turut mengambil kira hakikat bahawa laporan Anthony telah diterima pihak pendakwaan sejak Januari, sekali gus memberi mereka masa mencukupi untuk mendapatkan keterangan pakar lain bagi mencabar dapatan tersebut.
Bagaimanapun, tiada pakar psikiatri dipanggil bagi menyangkal laporan berkenaan.
“Pemeriksaan balas terhadap saksi, pada hemat saya, tidak cukup untuk dijadikan sanggahan,” katanya.










