‘Biadab, Tidak Bertamadun’ – Anwar Kecam Tindakan MB, Exco Negeri Sembilan

HANGZHOU, China: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah keras tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkaitan proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Anwar menyifatkan tindakan Menteri Besar dan MMKN yang mempertikaikan kedudukan Raja sebagai “biadab dan tidak bertamadun”, selain mempersoalkan mandat mereka untuk mengambil tindakan sedemikian.

“Yang paling saya fikir tidak munasabah ialah Menteri Besar dan Exco yang membuat keputusan. Ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras.

“Sejak bila mereka ada mandat nak mempertikaikan kedudukan Raja?” katanya kepada media ketika dalam perjalanan menaiki kereta api berkelajuan tinggi dari Shanghai ke Hangzhou, hari ini.

Kenyataan itu dibuat ketika kemelut berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus menjadi pertikaian susulan tindakan MMKN berhubung Surat Cara Proklamasi bertarikh 19 April 2026.

Pada 17 September lalu, Ismail mengesahkan proklamasi berkenaan telah dibincangkan dan diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli MMKN dalam mesyuarat pada 15 September.

Kerajaan negeri turut memaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri diminta meneruskan proses pewartaan mengikut peraturan sedia ada.

Menurut kenyataan MMKN yang dilaporkan sebelum ini, proklamasi itu menyatakan Tuanku Muhriz telah diturunkan daripada takhta, manakala Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak mencampuri urusan Raja-Raja Melayu, namun mempunyai tanggungjawab memastikan tindakan berkaitan institusi pemerintahan negeri dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan kedudukan Raja perlu dibuat melalui saluran serta proses yang mempunyai asas perundangan yang sah.

“Kalau Undang gunakan alasan dia, itu soal lain. Saya tidak pernah bantah. Tetapi keputusan yang dibuat mestilah melalui proses yang betul dan mempunyai asas perundangan yang sah,” katanya.

Anwar turut menegaskan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu tidak boleh dipertikaikan atau diubah hanya melalui keputusan Menteri Besar dan MMKN.

“Institusi Raja-Raja Melayu itu dimartabatkan, jangan dirobohkan. Kalau dimulakan begini, Menteri Besar dan Exco boleh buat keputusan, ini belajar dari mana ini?” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan perlu menghormati bidang kuasa Undang Luak dan institusi berkaitan, namun setiap tindakan tetap perlu berlandaskan peruntukan undang-undang yang sah.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut menegaskan semua pihak perlu merujuk dan menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) serta mengambil kira pembahagian kuasa antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata penyelesaian terhadap kemelut berkenaan perlu dirujuk kepada undang-undang tubuh negeri serta Perlembagaan Persekutuan, tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Anwar pada masa sama menegaskan pendiriannya adalah untuk memastikan keluhuran Perlembagaan dihormati serta institusi Raja-Raja Melayu terus dimartabatkan.

“Saya nak pastikan Perlembagaan dihormati, saya nak pastikan jangan ada kebiadaban termasuk mempertikaikan kedudukan Raja,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles