Anwar Minta Loke Fikir Semula Hasrat Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mempertimbangkan semula hasrat meletakkan jawatan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anwar menegaskan, Loke tidak wajar dipersalahkan atau menanggung akibat daripada keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kerana beliau bukan pihak yang membuat keputusan berkenaan.

Malah, menurut Anwar, Loke sebelum ini berusaha mempertahankan pendirian berkaitan isu berkenaan, selain konsisten dengan prinsip DAP dalam menolak kleptokrasi dan rasuah.

“Kenapa Loke? Patut semua DAP keluar. Itu cadangan siapa? Kenapa dia nak keluar? Dia tidak ada salah.

“Bukan dia cadangkan (keputusan pengampunan), malah dia cuba sedaya upaya menolak,” katanya ketika ditemui media semasa menaiki kereta api laju dari Shanghai ke Hangzhou, China.

Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Loke dalam masa terdekat bagi mendengar penjelasan secara rasmi berhubung tawaran peletakan jawatan itu, selain meminta Setiausaha Agung DAP berkenaan menarik balik keputusan tersebut.

Beliau pada masa sama berkata, pendirian Loke dan DAP yang tegas terhadap rasuah serta kleptokrasi perlu dihormati, namun keadaan semasa susulan keputusan Lembaga Pengampunan telah meletakkan mereka dalam situasi yang sukar.

“Saya bagi ruang dan tidak mahu terburu-buru kerana hormat keputusan beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan DAP supaya tidak tunduk kepada tekanan pihak berkepentingan politik yang didakwa mahu melihat Kerajaan Perpaduan berada dalam keadaan tidak stabil.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan pentadbiran negara terus berfungsi dengan baik, selain mengekalkan kestabilan politik, hubungan dengan institusi raja-raja Melayu dan momentum pertumbuhan ekonomi.

Isu berkenaan tercetus selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September lalu memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-64 yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Jika syarat ditetapkan tidak dipatuhi, pengampunan tersebut terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukuman di penjara.

Anwar turut menjelaskan bahawa isu dan pandangan berkaitan keputusan itu telah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, termasuk pendirian Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dalam mesyuarat berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kuasa eksekutif mempunyai batasan di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya apabila ia membabitkan kuasa pengampunan yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan.

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Anwar juga menolak dakwaan wujud kompromi atau pakatan sulit antara beliau dengan kepemimpinan UMNO berhubung keputusan pengampunan berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan perlu terus memberi tumpuan kepada agenda pentadbiran negara dan memastikan kestabilan politik tidak terjejas akibat perbezaan pendirian dalam isu tersebut.

Beliau turut menyeru rakyat tanpa mengira kaum supaya terus menjunjung prinsip taat setia kepada negara.

BBerkaitan

Latest articles