KUALA LUMPUR: UMNO tidak perlu membenci kaum lain untuk memperjuangkan nasib dan kepentingan orang Melayu, malah kekuatan Melayu seharusnya menjadi asas kepada usaha memperkukuh Malaysia secara keseluruhannya.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, memperjuangkan Islam juga tidak bermakna parti itu perlu merendahkan atau memusuhi agama lain.
“Kita tidak perlu membenci kaum lain untuk membela orang Melayu. Kita tidak perlu menghina agama lain untuk mempertahankan Islam.
“Kita mahu orang Melayu yang kuat bukan supaya bangsa lain menjadi lemah. Kita mahu orang Melayu yang kuat supaya Malaysia menjadi lebih kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2026 di Dewan Merdeka, hari ini.
Dalam pada itu, Noraini mengingatkan UMNO supaya tidak terlalu berhati-hati sehingga akhirnya takut menyuarakan pendirian parti berhubung kepentingan Melayu dan Islam, terutama ketika berada dalam kerjasama politik.
Katanya, UMNO boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak demi memastikan kestabilan negara, namun kerjasama tersebut tidak seharusnya menyebabkan parti kehilangan suara, prinsip dan identitinya.
“Kita boleh duduk semeja. Tetapi jangan sampai kerusi dan suara kita semakin kecil,” tegasnya.
Menurut Noraini, keputusan UMNO menyertai kerajaan dibuat atas pertimbangan kestabilan negara dan parti akan terus mempertahankan kestabilan berkenaan.
Namun, katanya, pada masa sama UMNO perlu membina kekuatan sendiri serta berani menyatakan pendirian dalam perkara yang menyentuh kepentingan Melayu dan Islam.
Beliau turut menyentuh sikap segelintir pihak dalam parti yang dilihat terlalu berhati-hati apabila membicarakan isu berkaitan Melayu dan Islam kerana bimbang menyinggung rakan politik.
“Hendak bercakap soal Melayu, takut orang kata kita terlalu Melayu. Hendak bercakap soal Islam, takut disalahertikan.
“Hendak mempertahankan UMNO, takut dikatakan tidak menjaga hati rakan.
“Wanita mahu bertanya. Sejak bila kita perlu meminta maaf kerana menjadi UMNO?” soalnya.










