​’Pertama Kali Alami Situasi SPRM, PDRM Bertembung Pada Hari Sama’

​KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyifatkan insiden pertindihan tindakan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas anak guamnya sebagai satu peristiwa yang julung kali berlaku.

​Peguam belanya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, sepanjang pengalamannya berkhidmat dalam bidang perundangan, ini adalah kali pertama beliau menyaksikan dua agensi penguat kuasa utama negara bertindak serentak tanpa perbincangan awal.

​Menurutnya, kekeliruan berhubung isu baju lokap dan gari yang timbul semalam berpunca daripada pertembungan tindakan kedua-dua agensi berkenaan pada hari yang sama.

​”Sepatutnya pihak SPRM boleh menunda pertuduhan ke minggu hadapan bagi memberi laluan kepada pihak polis untuk menjalankan proses reman. Sekiranya ada perbincangan di antara SPRM dan PDRM, isu bertindih ini tidak akan berlaku.

​”Ini kali pertama sepanjang tempoh saya menjadi peguam, saya melalui situasi sebegini di mana dua agensi bertindak pada hari yang sama tanpa berbincang sesama mereka,” katanya pada sidang media di perkarangan luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada Khamis.

​Abu Bakar menjelaskan, pada hari Selasa, anak guamnya telah dipanggil oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk memberi keterangan sebelum dikenakan perintah tangkap bagi siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

​Manakala pada hari Rabu, PDRM membawa bekas Ahli Parlimen Baling itu ke mahkamah bagi permohonan reman dan pada masa sama, SPRM turut mahu membawa pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM di Mahkamah Sesyen.

​”Apabila perintah reman dibenarkan mahkamah, anak guam saya secara automatik berada bawah tahanan dan jagaan pihak polis. Maka, beliau wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PDRM iaitu memakai baju lokap polis dan bergari.

​”Disebabkan kedua-dua proses berlaku pada hari sama, beliau dihadapkan ke pertuduhan SPRM dengan masih memakai baju lokap dan gari polis,” katanya.

​Beliau menambah, firma guamannya telah menghantar surat permohonan penundaan pertuduhan kepada Peguam Negara dan SPRM memandangkan Abdul Azeez perlu menyediakan wang jaminan serta menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

​Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad mengesahkan bahawa permohonan polis untuk menyambung reman selama tiga hari lagi telah ditolak oleh Mahkamah Majistret hari ini.

​Sehubungan itu, bekas Pengerusi Tabung Haji berkenaan dijangka dibebaskan daripada tahanan polis pada jam 5 petang ini selepas tempoh reman asal tamat.

BBerkaitan

Latest articles