Akmal: Wakil Rakyat Utamakan Diri Jangan Harap Dicalon Semula

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat daripada Pemuda UMNO yang dilihat lebih mengutamakan kepentingan peribadi, malas bekerja atau sukar ditemui rakyat tidak akan diberi jaminan untuk mempertahankan kerusi pada pilihan raya akan datang.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana wakil rakyat daripada sayap itu yang gagal meletakkan kepentingan parti dan perjuangan bersama sebagai keutamaan.

Menurutnya, kedudukan sebagai wakil rakyat bukan alasan untuk seseorang mendahulukan kepentingan sendiri sehingga mengetepikan perjuangan UMNO.

“Saya hendak tegur dan ingatkan wakil rakyat daripada Pemuda UMNO, tiada apa-apa yang lebih penting berbanding perjuangan parti keramat kita yang ada pada hari ini.

“Saya tegas, Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan), jika ada mana-mana wakil rakyat daripada Pemuda yang kepentingannya melebihi parti, maka saya tak teragak-agak untuk tidak mencalonkannya pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, hari ini.

Penegasan itu sekali gus memberi isyarat jelas bahawa prestasi, komitmen dan kesetiaan kepada perjuangan parti bakal menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan calon Pemuda UMNO pada pilihan raya akan datang.

Akmal turut memberi gambaran bahawa wakil rakyat yang gagal menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan parti tidak boleh menganggap kedudukan mereka sebagai sesuatu yang terjamin.

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Datuk Mohd Hasnol Ayub dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah dan Setiausahanya, Mohd Hafiz Ariffin, selain Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon; Ketua Pemuda MIC, Arvind Krishnan serta Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

BBerkaitan

Latest articles