KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menipu berkaitan kadar sewaan harian sebuah kapal.
Azmi, 67, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Saya faham pertuduhan, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Azmi didakwa memperdaya Pegawai Prinsipal TH Alam Management Sdn Bhd, Iskandar Mohd Zaffa, 48, dengan menyembunyikan tawaran sebenar kadar sewaan harian kapal atau ‘Daily Charter Rate’ yang dibuat pada 24 Ogos 2023.
Tawaran tersebut menetapkan kadar sewaan sebanyak RM80,500 sehari seperti yang dinyatakan dalam ‘Work Order’.
Bagaimanapun, tindakan itu didakwa menyebabkan Iskandar bersetuju menandatangani ‘BIMCO Supplytime 2017’ dengan kadar sewaan yang lebih rendah, iaitu RM70,000 sehari, bagi urusan antara Alam-JV DP2 (L) Inc. dan Alam Maritim (M) Sdn Bhd.
Azmi didakwa melakukan perbuatan itu dengan menyembunyikan maklumat berhubung kadar sewaan sebenar sehingga mendorong Iskandar membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian berkenaan.
Beliau kemudian berdepan satu lagi pertuduhan berkaitan dakwaan penipuan dalam urusan kadar sewaan harian kapal tersebut.










