​’Siapa Lulus, Siapa Suruh Siasat?’ – Rafizi Persoal Isu Tender Baja Pesawah

BUKIT KATIL: Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membidas tindakan Kerajaan Pusat berhubung isu kelewatan pembekalan baja kepada pesawah yang didakwanya berpunca daripada kecelaruan pentadbiran di peringkat Kementerian Kewangan (MOF).

Rafizi yang juga Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama), mendakwa Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebelum ini telah menjalankan proses tender mengikut prosedur.

Namun, katanya, disebabkan nilai tender melebihi had kuasa kelulusan MADA, keputusan kelulusan perlu diserahkan kepada MOF.

“MADA dah buat tender elok-elok dan pilih syarikat yang sepatutnya menang mengikut kriteria. Tapi disebabkan nilai tender besar, di luar had kuasa MADA, keputusan itu kena hantar ke Kementerian Kewangan.

“Sampai di Kementerian Kewangan, mereka batalkan keputusan tender MADA dan pi pilih syarikat yang tak lepas atau gagal,” katanya ketika berucap dalam ceramah Jelajah Trak Kancil di Bukit Katil, Melaka, malam tadi.

Bekas menteri ekonomi itu turut mempersoalkan pengumuman kerajaan yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu penyelewengan baja tersebut.

“Dia yang luluskan di Kementerian Kewangan, lepas itu dia buat keluar ‘magic’ panggil SPRM panggil siasat siapa sakau baja.

“Yang luluskannya dia, yang buat keputusan Kementerian Kewangan. Nampak atau tidak kecelaruan yang berlaku?” soal beliau.

Dalam pada itu, Rafizi turut berkongsi pengalamannya menjadi sasaran siasatan tindakan perundangan dan menegaskan bahawa kuasa pendakwaan tidak sepatutnya dijadikan senjata politik untuk mengancam pihak tertentu.

“Saya tak sokong siapa-siapa. Siapa yang ada bukti makan duit, disiasat dan ada kes yang boleh bertahan di mahkamah, dakwalah terus. Jangan simpan benda itu untuk dijadikan senjata politik,” tegas beliau.

Menurutnya, pemisahan kuasa antara Perdana Menteri, Peguam Negara dan Pendakwa Raya amat penting bagi memastikan sistem keadilan negara tidak disalah guna.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan penganjuran forum secara berkala bagi mengupas isu-isu integriti dan pendakwaan terpilih, serta menjemput orang ramai untuk hadir ke siri forum seterusnya di Puchong, Selangor.

BBerkaitan

Latest articles