KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh diminta memastikan semua urusan berkaitan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibuat menerusi perbincangan dan kesepakatan.
Pesanan itu disampaikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengingatkan supaya sebarang rundingan tidak berakhir dengan perselisihan sehingga boleh mengganggu kekuatan Barisan Nasional (BN).
“Pakat biar elok-elok, muafakat biar bulat. Kalau berunding, jangan selisih,” katanya secara berseloroh ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.
Ucapan berkenaan mengundang gelak tawa Ab Rauf serta perwakilan yang hadir, sekali gus menceriakan suasana perhimpunan.
Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka kini berdepan persiapan menghadapi PRN yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Sehubungan itu, Mohamad mengajak seluruh anggota Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari seluruh negara untuk bersama-sama turun ke Melaka bagi menguatkan gerak kerja parti.
Katanya, UMNO tidak akan membiarkan jentera Melaka bergerak sendirian apabila tarikh pilihan raya diumumkan.
“Saya seru semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri supaya turun ramai-ramai ke Melaka untuk membantu rakan seperjuangan.
“PRN Melaka boleh diadakan bila-bila masa. Terpulang kepada Datuk Seri Ab Rauf, tetapi jangan tunggu lama-lama, nanti diambil orang,” katanya.
Menurut Mohamad, kesiapsiagaan UMNO di peringkat nasional juga sudah berada pada tahap yang baik bagi membantu BN Melaka.
“Datuk Rauf, kami sudah bersedia. UMNO dari seluruh negara akan datang membantu Melaka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan dalam pilihan raya tidak boleh diletakkan hanya pada bahu calon.
Sebaliknya, kekuatan jentera, kerjasama antara bahagian serta kesatuan anggota parti perlu bergerak seiring untuk memastikan BN mampu memberikan saingan terbaik.
Mohamad berkata, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam sesebuah organisasi, namun ia perlu diselesaikan melalui meja rundingan dan semangat permuafakatan.
Dalam perkembangan sama, beliau berharap UMNO dan BN dapat mengekalkan rentak positif yang diraih di beberapa negeri untuk dibawa ke peringkat nasional menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya suka mengusik Datuk Rauf. Semoga UMNO dan BN dapat mengekalkan momentum kejayaan di negeri-negeri ini dan membawa semangat serta ‘gelombang biru’ ke PRU ke-14.
“Kalau badan saya sihat, insya-Allah saya akan berkampung membantu,” katanya.
Pesanan berkenaan dibuat ketika BN masih belum mencapai keputusan rasmi mengenai bentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Melaka.










