​KUALA LUMPUR: Kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong disifatkan sebagai tafsiran politik tersasar yang sengaja mengaburkan isu sebenar.
​Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad berkata, PH tidak pernah menafikan kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, namun penegasan terhadap isu rasuah dan integriti tetap tidak akan dikompromi.
​”Jangan ubah persoalan tentang rasuah menjadi drama kononnya derhaka kepada Raja. Itu dua perkara yang berbeza. Institusi Raja mesti terus dihormati, manakala rasuah tetap wajib ditentang.
​”Menghormati kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong tidak bermaksud mana-mana parti politik akan kehilangan hak untuk menyatakan pendirian tegas terhadap rasuah, salah guna kuasa, integriti dan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
​Mengulas lanjut, Saifuddin meluahkan rasa hairan apabila Setiausaha Agung UMNO itu memetik secara langsung nama PH, sedangkan gabungan itu langsung tidak menyentuh mana-mana parti politik atau kes spesifik yang berkaitan.
​Beliau turut mempersoalkan pendirian UMNO yang meletakkan tuduhan terhadap PH, manakala kemelut politik di Negeri Sembilan sendiri menimbulkan persoalan serius berkaitan proses, kuasa dan kedudukan institusi diraja.
​”Apabila seorang Menteri Besar sendiri mendakwa berlaku paksaan dalam penandatanganan dokumen berkaitan kedudukan Raja, siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang menjadi penderhaka sebenarnya?
​”Kalau UMNO benar-benar mahu tampil sebagai benteng institusi Raja-Raja Melayu, jawab dahulu persoalan di Negeri Sembilan. Jangan hanya lantang bercakap soal Raja apabila ia menguntungkan naratif politik sendiri, tetapi membisu apabila timbul persoalan yang jauh lebih serius di depan mata,” tegasnya.
​Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar institusi Raja tidak dijadikan perisai setiap kali UMNO berdepan krisis integriti dan keyakinan rakyat.
​”Pakatan Harapan tidak perlu diajar soal menghormati Raja. Yang rakyat mahu ialah konsistensi.
“Dalam soal institusi Raja, kita menjunjung Perlembagaan. Dalam soal rasuah, kita pertahankan kedaulatan undang-undang,” katanya.










