KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan adalah majlis milik seluruh rakyat serta negara dan bukannya acara eksklusif untuk pihak yang disenangi kerajaan yang sedang memerintah.
Perunding Media, Norzie Pak Wan Chek menegaskan, justifikasi atau penjelasaan berhubung prosedur urus setia mengenai isu jemputan ke atas bekas Perdana Menteri tidak sepatutnya mengesampingkan adab kenegaraan.
Bekas personaliti TV itu berkata, jemputan rasmi wajar dipanjangkan kepada mana-mana individu yang pernah memegang jawatan nombor satu negara itu tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
”Hari Kebangsaan BUKAN sambutan kerajaan yang sedang memerintah. Ia sambutan negara. Sambutan KITA SEMUA.
”Kerajaan boleh memberi seribu satu penjelasan tentang prosedur, urus setia, Bahagian Istiadat dan Urus Setia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) serta amalan sejak 2018.
”Tapi kadang-kadang kita sibuk nak menjustifikasikan prosedur sehingga kita terlupa perkara paling asas: ADAB KENEGARAAN,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.
Mengulas lanjut, Norzie mendakwa jemputan tersebut wajar diberikan atas dasar penghormatan kepada jawatan bekas Perdana Menteri dan bukannya atas kapasiti peribadi semata-mata.
Beliau turut memetik nama beberapa bekas pemimpin negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Najib Razak.
”Kita tak perlu menyukai mereka. Kita juga tak perlu bersetuju dengan mereka. Dan mereka juga tak perlu bersetuju dengan kerajaan hari ini.
“Kerana Hari Kebangsaan tidak sepatutnya menjadi majlis untuk mereka yang disenangi kerajaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Norzie turut mempertanyakan alasan pihak urus setia yang memaklumkan bahawa Pejabat Perdana Menteri menerima makluman mengenai jadual Tun Mahathir di luar negara dari 28 hingga 31 Ogos.
Menurutnya, pihak penganjur sepatutnya tetap menghantar jemputan rasmi dan menyerahkan keputusan kehadiran kepada penerima jemputan tersebut.
”Sama ada beliau berada di London, Langkawi atau di rumah sekali pun tidak sepatutnya mengubah perkara pokok. HANTAR JEMPUTAN.
”Kemudian biarlah beliau sendiri membuat keputusan sama ada untuk hadir atau tidak. Itulah fungsi jemputan.
“Kita tidak TAK MENJEMPUT seseorang kerana kita sudah mengandaikan dia tidak akan hadir,” katanya.
Tambah beliau, kedudukan bekas Perdana Menteri diiktiraf tinggi dalam Susunan Keutamaan Persekutuan, sekali gus menjadikan andaian ‘perlu memohon jika mahu hadir’ sebagai sesuatu yang tidak wajar.
Norzie turut mengingatkan bahawa kehadiran bekas Perdana Menteri pada acara kebangsaan bukanlah perkara luar biasa kerana Dr Mahathir sendiri pernah hadir pada sambutan tahun 2007 dan 2010 selepas tidak lagi memegang jawatan tersebut.
Justeru, beliau menegaskan bahawa istilah ‘tidak dipanjangkan secara automatik’ tidak bermakna seseorang bekas pemimpin tidak boleh atau tidak pernah dijemput.
”Penghormatan kepada bekas Perdana Menteri bukan hadiah daripada Perdana Menteri yang sedang berkuasa. Ia penghormatan negara kepada institusi yang pernah mereka pimpin.
”Selepas dua kali menjadi Perdana Menteri dan lebih dua dekad memimpin negara, sepatutnya persoalannya bukan ‘Mengapa Tun Mahathir datang?’, tetapi mengapa negaranya tidak terlebih dahulu berkata: Tun, silakan datang,” katanya.










