TEMERLOH: Empat individu, termasuk tiga sekeluarga, maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kemalangan membabitkan empat kereta, tiga kenderaan utiliti sukan (SUV), sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebuah pikap, sebuah lori tangki dan sebuah bas ekspres.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata tiga mangsa yang maut ialah pemandu serta dua penumpang sebuah SUV, manakala seorang lagi korban merupakan lelaki yang menaiki sebuah SUV berasingan.
Beliau berkata, semua mangsa yang maut didapati tersepit dalam kenderaan masing-masing dan operasi mengeluarkan mereka mengambil masa lebih sejam.
“Selain empat mangsa yang maut, dua lagi mangsa iaitu pemandu lori tangki dan seorang lelaki yang menaiki sebuah SUV mengalami kecederaan parah.
“Seorang lagi mangsa turut cedera, manakala kesemua 30 penumpang bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd Salahuddin, siasatan awal mendapati semua kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kuantan ketika kemalangan berlaku.
Katanya, punca nahas masih dalam siasatan pihak polis.
Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, untuk dibedah siasat, manakala identiti kesemua mangsa yang maut masih belum dikenal pasti.
Mangsa yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.










