Razali Dedah Bersatu Terengganu Pernah Desak Ganti Ketua Penerangan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mendedahkan bahawa Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Terengganu sebelum ini pernah sebulat suara mencadangkan supaya jawatan Ketua Penerangan parti diganti.

Bagaimanapun, beliau mendakwa wakil Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang hadir dalam mesyuarat berkenaan tidak membawa cadangan rasmi itu ke peringkat atasan.

“Hari ini saya ulang secara terbuka kerana diam terlalu lama juga boleh menjadi satu bentuk kesilapan.

“Bersatu tidak akan bangkit dengan Ketua Penerangan yang paling lantang.

“Bersatu akan bangkit dengan Ketua Penerangan yang paling bijaksana membaca keadaan, paling tenang mengurus perbezaan dan paling tajam menyusun strategi,” katanya menerusi tulisan bertajuk Kaca Mata Saya pada Isnin.

Razali yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu menegaskan, jawatan Ketua Penerangan bukanlah ‘lesen’ untuk menyerang pihak lain secara terbuka di media sosial atau menjadi jurucakap kemarahan.

Menurut beliau, tindakan mengejar populariti di media sosial tanpa mengambil kira sentimen pimpinan dan akar umbi, khususnya di Pantai Timur, hanya meletakkan parti sebagai mangsa.

“Tugas Ketua Penerangan ialah menerangkan dasar, mempertahankan parti, menyatukan pimpinan dan membaca denyut nadi rakyat.

“Politik yang matang membina kekuatan, politik yang gelojoh membakar jambatan.

“Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya sudah cukup menjadi seruan kesedaran (wake-up call),” katanya.

Beliau turut mengimbas pencapaian lalu sewaktu memikul amanah tersebut bersama jentera Perikatan Nasional (PN) yang berjaya memenangi 31 kerusi Parlimen dan 66 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Justeru, Razali mengingatkan semua pihak agar tidak meletakkan kepentingan peribadi mengatasi masa depan parti.

“Jangan kerana mahu menang hujah di media sosial, kita kalah kepercayaan di bawah.

“Parti bukan pentas untuk ego individu, parti ialah amanah untuk diperjuangkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles