Hantaran ‘Habis Madu, Sepah Dibuang’ Anthony Loke Sindir Kian Ming?

KUALA LUMPUR: Hantaran status Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke Siew Fook di media sosial mencetuskan tanda tanya dan pelbagai spekulasi apabila beliau memuat naik peribahasa ringkas berbunyi ‘Habis madu, sepah dibuang’ pada Isnin.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama secara khusus, perkongsian berkenaan dipercayai netizen merujuk kepada tindakan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti itu berkuat kuasa 31 Ogos.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna Facebook terus mengaitkan hantaran tersebut dengan Kian Ming (OKM), terutamanya selepas bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu menyatakan komitmennya untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beberapa netizen tampil bersuara dan mengaitkan hantaran itu secara terbuka dengan bekas pimpinan DAP berkenaan.

“Sindir Ong Kian Ming ke?” kata pengguna Facebook, Joy JB, manakala El Wanie Fudz dan Anjay Chandran turut bertanyakan soalan senada, “OKM ke?”.

Seorang lagi pengguna, Tetfoot Shin Boon menulis hantaran sinis “kacang lupakan kulit?”, manakala Shalini Zaza secara berseloroh membuat akronim nama Kian Ming sebagai “OKM = Orang Kehabisan Madu”.

Sementara itu, Lee Siow Leng berpandangan bahawa Kian Ming kelihatan dipergunakan oleh pihak lain demi kepentingan politik, manakala Athar Ali mengaitkan pepatah tersebut dengan keputusan Kian Ming yang mahu berkempen untuk Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, terdapat pengikut yang menasihatkan Ahli Parlimen Seremban berkenaan agar kekal tenang mendepani isu berkenaan.

“Tenang-tenang YB,” kata Khadeeja Mohd, manakala Wai Chee Lee menitipkan pesanan “Sabar… menghadapi dugaan”.

Setakat ini, tiada sebarang pengesahan atau kenyataan susulan daripada Anthony Loke sama ada hantaran berkenaan ditujukan khas kepada keputusan peletakan jawatan Kian Ming atau atas sebab lain.

BBerkaitan

Latest articles