MELAKA: Melaka berpotensi dijadikan lokasi baharu penganjuran Pameran Maritim dan Aerangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada masa hadapan sekiranya Pulau Langkawi tidak lagi sesuai.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kawasan Klebang dilihat strategik berikutan kedudukannya yang berhampiran Lapangan Terbang Batu Berendam selain memiliki akses laluan laut untuk persinggahan kapal-kapal tentera.
Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan berkenaan memerlukan pelaburan gergasi daripada kerajaan bagi melengkapkan pelbagai infrastruktur asas sebelum ia dapat direalisasikan.
”Apabila penganjuran dibuat di Langkawi, tidak ramai rakyat yang berpeluang hadir. Tetapi jika di Melaka, seluruh rakyat dari pelbagai negeri boleh datang.
”Jadi ia satu alternatif yang boleh kita terokai dan seperti mana kata Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh), ia sememangnya memerlukan pelaburan yang sangat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) di Dataran 1Malaysia, Klebang, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberitahu, cetusan idea itu timbul susulan kejayaan penyertaan enam kapal Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM) dalam Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka, tahun ini.
Sementara itu, Ab Rauf menyambut baik ilham berkenaan dan menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk menjadi tuan rumah acara dwitahunan bertaraf antarabangsa itu.
Namun menurutnya, penilaian terperinci mengenai kemampuan kewangan serta pulangan manfaat kepada negeri dan Persekutuan perlu dibuat terlebih dahulu.
”Melaka sememangnya lokasi strategik, tetapi kita kena lihat juga kemampuan kita.
”Perkara ini boleh dibincangkan di peringkat Persekutuan kelak. Sekiranya ia benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak, kenapa tidak boleh kita laksanakan, insya-Allah,” katanya.










