Wawasan Negara Perkukuh Jentera, 160 Ketua Bahagian Penaja Terima Watikah

​KUALA LUMPUR: Parti Wawasan Negara melantik seramai 160 orang Ketua Bahagian Penaja di seluruh negara sebagai langkah awal memperkukuh jentera dan struktur organisasi parti berkenaan di peringkat akar umbi.

​Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kesemua ketua bahagian yang dilantik diberi dua tugasan utama iaitu mengumpul sekurang-kurangnya 1,000 orang ahli di kawasan masing-masing serta menubuhkan Jawatankuasa Penaja Bahagian lengkap dari peringkat atasan hingga ke bawah.

​”Setakat ini kita telah melantik 160 Ketua Bahagian Penaja. Tugas pertama mereka ialah mengumpul keahlian minimum seramai 1,000 orang dan yang kedua ialah menubuhkan jawatankuasa penaja di peringkat bahagian.

​”Kita juga menetapkan penubuhan cawangan parti dibuat secara khusus mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Parlimen masing-masing bagi memastikan persediaan jentera pilihan raya berada di tahap optimum,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Bahagian (Penaja) Parti Wawasan Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

​Mengulas mengenai pelantikan sayap parti, Saifuddin menjelaskan pelantikan bagi jawatan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda Bahagian bagaimanapun terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

​Menurut beliau, penangguhan itu dibuat atas faktor protokol memandangkan Presiden parti tidak dapat hadir bersama pada majlis penyampaian watikah berkenaan hari ini.

​”Sepatutnya hari ini kita sudah boleh umumkan, tetapi oleh kerana Presiden parti tidak dapat bersama, pengumuman untuk Ketua Wanita dan Ketua Pemuda Bahagian tertangguh sikit.

“Namun, ini tidak menjadi masalah kerana kita akan umumkan dalam masa beberapa hari lagi,” jelasnya.

​Saifuddin menegaskan, parti itu komited membawa imej ‘berwajah Malaysia’ dengan meraikan komposisi demografi pengundi dan rakyat di setiap kawasan Parlimen.

​Jelas beliau, pendekatan itu dapat dilihat menerusi pemilihan ketua-ketua bahagian yang mencerminkan demografi majoriti penduduk tempatan.

​”Bagi kawasan Parlimen yang demografinya menunjukkan majoriti penduduk Melayu, Ketua Bahagian Penaja yang dilantik adalah orang Melayu.

“Apabila demografinya menunjukkan majoriti bukan Melayu, maka ketua bahagian penajanya terdiri daripada kepimpinan bukan Melayu.

​”Barisan kepimpinan baharu ini turut menampilkan kepelbagaian latar belakang termasuk tokoh korporat, ahli akademik, bekas pegawai tinggi kerajaan, aktivis NGO serta beberapa muka baharu yang pertama kali menceburkan diri dalam kancah politik,” ujarnya.

​Mengenai status bahagian di beberapa negeri yang belum dimuktamadkan, Saifuddin memberitahu bahawa Perlis dan Sarawak dimasukkan dalam fasa (batch) kedua pengumuman.

​Katanya, proses rundingan masih berjalan di beberapa kawasan bagi memastikan calon pimpinan yang dipilih benar-benar mantap dan mendapat konsensus bersama.

​”Macam di Pahang, daripada 14 bahagian kita baru umumkan 12, ada baki dua lagi. Di Negeri Sembilan pula, daripada lapan bahagian kita umumkan tujuh.

“Perlis dan Sarawak juga akan kita umumkan dalam fasa kedua nanti,” katanya.

​Beliau menambah, proses rundingan dilakukan secara teliti tanpa terburu-buru demi menjaga keharmonian parti di peringkat penaja.

BBerkaitan

Latest articles