Tahanan Reman Paling Lama Di Malaysia Akhirnya Bebas Kes Bunuh

​JOHOR BAHRU: Seorang lelaki Orang Asli berusia 47 tahun akhirnya bebas selepas hampir sembilan tahun ditahan di penjara reman berhubung kes pembunuhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

​Jambi Anak Chang Taa Nam dibebaskan selepas peguam, Kamal Hisham Jaafar, mengambil alih kes berkenaan susulan surat permohonan bantuan yang diutuskan dari dalam penjara kira-kira lima bulan lalu.

​Menurut Kamal Hisham, sebelum ini beberapa peguam pernah mewakili Jambi, namun kesemuanya bertindak menarik diri daripada terus mengendalikan kes berkenaan.

​”Namun, lima bulan lepas dia mendapat kekuatan untuk menulis surat dari dalam penjara bagi meminta bantuan saya untuk membebaskannya.

​”Beliau menyebut di dalam suratnya bahawa 17 tahun lalu beliau pernah berjumpa dengan saya bersama ayahnya yang juga merupakan seorang Batin di satu perkampungan Orang Asli di Johor sewaktu Program Kembara Mahkota Johor, yang mana saya adalah Setiausaha kepada program tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

​Jelas Kamal Hisham, selepas meneliti kandungan surat berkenaan, beliau telah membuat kunjungan ke penjara reman bagi melawat Jambi sebelum menyusun strategi perundangan yang sesuai.

​”Setelah meneliti surat tersebut, saya telah pergi melawat beliau di penjara reman dan mula ambil alih serta mengatur strategi bagi membebaskan beliau.

​”Dengan izin Allah SWT, hari ini beliau telah keluar bebas untuk kembali kepada masyarakat.

“Kita berusaha dengan ikhlas dan gigih, segalanya ditentukan Allah,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles