‘Saya Tak Pernah Minta Anwar Tutup Kes Rasuah’ – Saravanan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menegaskan surat yang dihantarnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pertuduhan rasuah dihadapinya bukan bertujuan mendapatkan campur tangan atau perlindungan untuk menutup kes berkenaan.

Sebaliknya, Timbalan Presiden MIC itu berkata, surat berkenaan hanya bagi memohon supaya kesnya diteliti dan disemak secara menyeluruh kerana beliau menyifatkan pertuduhan terhadapnya sebagai tidak berasas.

“Saya tidak menulis surat kepada Perdana Menteri untuk meminta kes ini ditutup atau mendapatkan perlindungan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Saravanan berkata demikian selepas beliau didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing.

Ahli Parlimen Tapah itu turut menegaskan beliau tidak berasa malu dengan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, malah yakin kebenaran akan terserlah apabila kes itu dibicarakan.

“Saya tidak berasa malu dengan pertuduhan ini. Apabila kebenaran akhirnya terbongkar, mereka yang menuduh saya akan berasa malu,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan menafikan mengenali individu atau entiti korporat yang dinamakan dalam kertas pertuduhan terhadapnya.

Beliau berkata, dirinya bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses perundangan dan mahu perbicaraan kes berkenaan dijalankan tanpa sebarang kelewatan.

“Saya mahu membersihkan nama saya di mahkamah secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, prosiding perbicaraan kelak juga akan membuka ruang kepada masyarakat untuk melihat dengan lebih jelas realiti politik serta kedudukan ahli politik di Malaysia.

“Apabila perbicaraan ini selesai nanti, orang ramai akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai realiti politik Malaysia dan ahli politiknya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles