​
​KUALA LUMPUR: Centre for Independent Journalism (CIJ) menegaskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan tidak diperlukan bagi menggubal dan merangka Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI).
​Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G Naidu berkata, undang-undang sedia ada sebenarnya sudah berupaya beroperasi secara efektif di bawah kerangka perlembagaan yang sedia ada.
​”Penggubalan kerangka FOI yang mantap mesti berupaya mematuhi piawaian antarabangsa, mengehadkan pengecualian maklumat, serta menyediakan prosedur yang jelas bagi mengakses maklumat.
​”Langkah ini termasuk mengaplikasikan ujian kepentingan awam dan kemudaratan semasa menilai pendedahan sesuatu maklumat,” katanya dalam kenyataan di Facebook organisasi itu pada Jumaat.
​Beliau berkata demikian mengulas kehadirannya ke sesi taklimat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai RUU FOI yang turut dihadiri wakil organisasi masyarakat sivil, Ahli-Ahli Parlimen dan pengamal undang-undang baru-baru ini.
​Wathshlah yang juga ahli Jawatankuasa Protem penggubalan RUU berkenaan turut mendesak agar sebuah badan bebas ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan undang-undang tersebut.
​”Kita perlu memastikan penubuhan sebuah badan bebas iaitu Suruhanjaya FOI yang diberi kuasa khusus untuk menjalankan fungsi pemantauan.
​”Undang-undang FOI yang kukuh amat penting bagi membina kepercayaan masyarakat di samping menjamin ketelusan, akuntabiliti dan hak orang awam untuk tahu,” tegas beliau.










