Isu Kuil Diroboh: ‘Kita Ada Undang-undang, Bukan Di Hutan Rimba’ – Dr Maza Tegur Rayer

KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung isu tindakan penguatkuasaan terhadap struktur pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di negeri ini.

Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mematuhi kedaulatan undang-undang dan sebarang pembinaan bangunan, termasuk rumah ibadat, mesti mengikut peraturan serta memiliki hak milik tanah yang sah.

Beliau berkata, wakil rakyat sepatutnya mendidik masyarakat supaya mematuhi undang-undang dan bukannya membina binaan secara sesuka hati di atas tanah menceroboh.

“Kita berada di negara yang ada undang-undang, bukan di hutan rimba yang tanah tiada pemilik.

“Sepatutnya, ahli parlimen ini mengajar rakyat untuk mengikut undang-undang, bukan membina bangunan sesuka hati tanpa peraturan dan hak milik.

“Rumah persendirian pun tidak boleh kita bina dengan menceroboh tanah orang lain atau tanah awam, apatah lagi membina rumah ibadat agama. Adakah dalam dunia ini agama yang mengajar ‘kebas’ tanah orang untuk buat rumah ibadat? Jika tiada, jangan buat!

“Sia-sia menjadi ahli Parlimen jika begini mentaliti beliau. Orang seperti inilah yang menambahkan kebimbangan masyarakat Melayu-Muslim yang menjadi majoriti rakyat negara ini terhadap sikap dan tindak tanduk mereka,” katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.

Teguran itu dibuat susulan kenyataan Rayer yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Negeri Perlis merobohkan kuil berkenaan yang menyifatkan tindakan itu sebagai ‘rasis dan angkuh’.

Rayer, yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, mendakwa tindakan merobohkan kuil berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan menimbulkan rasa tidak puas hati, marah serta kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Hindu.

Rayer turut mendakwa Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat menganuti agama lain dan menyatakan sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh pihak kuil, pendekatan lebih berhemah sepatutnya diambil bukannya dengan merobohkannya.

Beliau turut mengaitkan isu berkenaan dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) Perlis yang didakwanya tidak sensitif terhadap masyarakat majmuk.

Mengulas lanjut, Dr Maza menyarankan agar wakil rakyat DAP berkenaan membuka mata melihat lipatan sejarah di negara lain mengenai tahap toleransi keagamaan sebelum membuat tuduhan melampau.

“Jika beliau rasa kurang ‘bahagia’ dan seolah-olah tidak dilayan, beliau boleh lihat bagaimana masjid-masjid di negara India yang berusia ratusan tahun bahkan ada yang lebih 1,000 tahun dirobohkan atas alasan majoriti rakyat India tidak suka. Itu sahaja.

“Di Malaysia ini tidak demikian. Semua rakyat hidup aman. Betapa banyak kuil yang sah wujud, tidak disentuh pun oleh majoriti rakyat negara ini,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa ajaran Islam sentiasa mengutamakan keharmonian dan menghormati hak orang lain, namun ia tidak bermakna tindakan melanggar undang-undang dan membelakangkan hak milik boleh dibiarkan.

“Islam itu harmoni dan menghormati hak, walaupun tidak bersetuju. Namun, Islam juga tidak membenarkan manusia merampas atau mengambil tanah pihak lain tanpa alasan yang sah.

“Jangan sampai keharmonian dan penghormatan hak yang diberikan menjadikan peluang untuk pihak lain melanggar peraturan, memijak tengkok pihak yang jujur dan memperlekehkan undang-undang,” katanya.

Dr Maza turut menegaskan bahawa tindakan
penguatkuasaan yang diambil di Perlis adalah berteraskan kedaulatan undang-undang tanpa sebarang agenda politik.

“Apa yang berlaku di Perlis bagi saya tiada kaitan parti politik dan saya bukan pendokong mana-mana parti politik. Apa yang berlaku ialah pelaksanaan peraturan dan kedaulatan undang-undang.

“YB! Jangan bakar sentimen perkauman atau ketegangan agama. Buruk akibatnya nanti bagi negara ini,” tegasnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles