KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang salah laku atau kelemahan pengurusan dalam Lembaga Tabung Haji (TH) tetap perlu diambil tindakan tanpa mengira latar belakang institusi berkenaan.
Beliau berkata, tindakan terhadap TH bukan disebabkan agensi itu membawa jenama Islam, sebaliknya bertujuan membetulkan kepincangan yang dikenal pasti dan memastikan institusi berkenaan diurus dengan baik.
Anwar berkata pendekatan sama turut dilaksanakan terhadap Felda dan institusi lain, justeru isu penguatkuasaan tidak wajar diputar sebagai persoalan kaum atau agama.
“Ada pula seorang pemimpin parti Islam kata asyik nak kena tindakan kepada badan-badan agensi Melayu dan Islam.
“Kalau kita kenal pasti masalah, kita akan ambil tindakan. Jangan jadikannya sebagai permasalahan kaum atau agama,” katanya ketika berucap pada program bersama pengurusan tertinggi dan pengurus Felda.
Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini mendakwa isu berkaitan TH dibesar-besarkan kerana institusi berkenaan membawa imej Islam.
Mengulas isu itu, Anwar berkata masyarakat Melayu dan Islam sepatutnya lebih tegas memastikan institusi yang membawa imej Islam menunjukkan standard tinggi dalam aspek pengurusan, akhlak dan nilai.
Katanya, sebarang kepincangan tidak seharusnya disembunyikan atas alasan menjaga imej institusi.
Beliau turut mengambil Felda sebagai contoh apabila kerajaan mengambil langkah pemulihan termasuk pembentangan Kertas Putih, penubuhan pasukan petugas khas serta jawatankuasa pemulihan bagi memastikan kelemahan terdahulu tidak berulang.
“Tujuannya nak menjamin peranan dan elak mudarat,” katanya.
Anwar menegaskan pendedahan mengenai salah laku tidak sepatutnya dianggap sebagai usaha memalukan institusi Islam, sebaliknya perlu dilihat sebagai langkah membersihkan dan memperbaiki keadaan.
“Bila ada masalah, kena rasuah, tak bolehlah kata jangan dedah sebab ini badan Islam dan jangan hebahkan kerana malu.
“Kita harus jadi contoh. Kalau sudah berlaku, bersihkan dan orang boleh terima,” katanya.










