KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau sudah menghantar surat kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto supaya memberi perhatian terhadap kemelut pelaburan Felda dalam syarikat Eagle High Plantations TBK (EHP).
Menurut Anwar, kes berkenaan menjadi antara contoh kerugian besar akibat keputusan pelaburan yang tidak sepatutnya berulang, dengan nilai kerugian berpotensi mencecah RM2.5 bilion.
Katanya, Felda kini berdepan prosiding mahkamah di Indonesia berkaitan pelaburan berkenaan, dan jumlah yang mungkin diperoleh semula dianggarkan hanya sekitar RM200 juta.
“Isu yang paling besar termasuk pelaburan di Indonesia, Eagle High, yang sekarang tersangkut di mahkamah Indonesia.
“Saya sudah menulis surat kepada Presiden Prabowo meminta beliau melihat juga permasalahan ini,” katanya ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama pengurusan tertinggi Felda.
Pelaburan EHP sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas Felda dilaporkan membeli saham syarikat itu pada harga AS$505 juta pada 2016, yang didakwa jauh lebih tinggi berbanding nilai pasaran ketika itu.
Anwar menegaskan isu membabitkan Felda dan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disiasat secara telus, segera dan menyeluruh, tanpa terus berlindung di sebalik alasan masalah legasi.
Beliau turut memberi amaran bahawa kecuaian, ketamakan dan keputusan terburu-buru boleh merosakkan sejarah institusi yang telah dibina sekian lama.
Sementara itu, Anwar berkata laporan pasukan petugas khas yang menyiasat isu Felda akan diumumkan dalam masa terdekat selepas siasatan selesai.
Katanya, siasatan itu antara lain bertujuan mengenal pasti punca masalah serta langkah bagi memperkukuh pengurusan Felda dan memastikan kesilapan sama tidak berulang.










