GEORGE TOWN: Lima individu, termasuk seorang pengerusi agensi kerajaan negeri bergelar Datuk, direman selama empat hari bagi membantu siasatan berkaitan penjualan tanah milik kerajaan pada harga dipercayai lebih rendah daripada nilai pasaran.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Idayu Salim sehingga Isnin depan selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Peguam yang mewakili kelima-lima individu berkenaan, Dr Shamsher Singh Thind, berkata SPRM sebelum ini memohon tempoh reman selama tujuh hari.
Menurutnya, kes berkenaan dipercayai berkait dengan isu penjualan tanah pada 2015, namun siasatan kini dibuka semula susulan aduan baharu yang dibuat pada 17 Ogos lalu.
Beliau berkata, aduan tersebut dikatakan membawa perkembangan baharu berhubung pertikaian terdahulu membabitkan penjualan tanah kepada sebuah syarikat yang kemudiannya mengalami perubahan dalam struktur pengarah.
Katanya, isu berkenaan sebelum ini telah diselesaikan apabila diskaun Bumiputera sebanyak 10 peratus dikembalikan kepada agensi kerajaan terbabit.
Shamsher turut memaklumkan bahawa dua daripada individu yang direman mempunyai hubungan adik-beradik, manakala seorang lagi suspek wanita merupakan isteri kepada salah seorang daripada mereka.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan menahan lima individu terdiri daripada seorang pengerusi, dua pengarah syarikat, seorang pengurus teknikal dan seorang kerani wanita bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik sebuah agensi kerajaan di bawah kementerian di Pulau Pinang.
Pengerusi berusia lingkungan 50-an itu dipercayai menyalahgunakan kedudukannya ketika menjadi Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah agensi berkenaan dengan meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan (SPS) pada 2015.
Tanah tersebut didakwa dijual kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan sekutunya pada harga di bawah nilai pasaran, menyebabkan anggaran kerugian sekitar RM1.96 juta.










