MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyifatkan pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai keputusan yang dibuat terlalu awal.
Ab Rauf berkata, BN sendiri masih belum menentukan bentuk kerjasama politik atau pihak yang akan menjadi rakan gabungan dalam menghadapi PRN Melaka akan datang.
“Pengumuman Dr Akmal itu terlalu awal kerana kita sendiri belum membuat keputusan mengenai siapa jodoh kita. Belum ada lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Akmal sebelum ini yang menyatakan tidak akan bertanding sekiranya BN dan PH membentuk kerjasama pada PRN Melaka.
Menurut Ab Rauf, setakat ini belum ada sebarang pertemuan rasmi dengan mana-mana parti bagi membincangkan secara khusus cadangan kerjasama yang dikenali sebagai BN Plus.
“Masih belum ada satu titik pertemuan secara rasmi untuk saya memulakan rundingan atau perbincangan mengenai BN Plus.
“Bagaimanapun, walaupun kita berbincang, ia tidak semestinya membawa kepada persamaan dalam menentukan hala tuju politik negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata BN Melaka sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti, termasuk PKR, PAS dan pihak lain yang berminat.
Beliau bagaimanapun menegaskan, keutamaan BN Melaka adalah mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi parti itu pada PRN sebelum ini.
“Tentu ada perubahan pada kerusi-kerusi lain, tetapi titik perbincangan mesti bermula dengan 21 kerusi yang akan kita pertahankan,” katanya.










