KUALA LUMPUR: Dua penunggang basikal maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 9, Jalan Persiaran Selatan, Putrajaya, malam tadi.
Ketua Polis Putrajaya, Aidi Sham Mohamed, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 malam ketika kereta dipandu seorang lelaki berusia 40-an dipercayai bergerak dari lorong tengah sebelum memasuki lorong kiri.
Menurutnya, perubahan haluan itu mengakibatkan kenderaan terbabit melanggar dua penunggang basikal berkenaan.
“Dua mangsa masing-masing berusia 40-an dan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah, terutama pada bahagian muka dan kepala.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman berkaitan kemalangan itu bagi membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-8886 2138 atau mana-mana balai polis berhampiran.










