PRN Melaka: UMNO Tentukan Hala Tuju Politik Pada 28 Ogos

MELAKA: Hala tuju UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 28 Ogos ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dijangka meneliti pelbagai pilihan, termasuk sama ada BN akan bekerjasama dengan parti lain atau bertanding secara solo.

Menurutnya, strategi pilihan raya turut menjadi antara perkara utama yang akan dibincangkan bagi memastikan BN mampu mempertahankan kedudukannya di Melaka.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, belum ada keputusan muktamad mengenai hala tuju BN atau UMNO di Melaka, termasuk soal kerjasama dengan mana-mana parti.

“Memang ada perbincangan dan pandangan yang disuarakan menerusi media, termasuk oleh beberapa pemimpin UMNO Melaka, berkaitan kemungkinan kerjasama BN-PH (Pakatan Harapan) atau BN-PN (Perikatan Nasional),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 3 Tahun 2026 di Seri Negeri, hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, semua pihak perlu menerima dan menghormati keputusan yang bakal dibuat kepimpinan parti berhubung PRN Melaka.

Katanya, pendekatan politik BN tidak semestinya sama bagi setiap negeri kerana ia perlu disesuaikan dengan keadaan serta dinamika politik setempat.

Penggal pentadbiran kerajaan negeri Melaka akan berakhir pada 31 Disember ini, sekali gus membuka laluan kepada PRN negeri berkenaan.

Pada PRN Melaka ke-15, BN mencatat kemenangan besar apabila menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memenangi lima kerusi dan PN memperoleh dua kerusi.

BBerkaitan

Latest articles