Nurul Izzah Bercuti Selepas Kongres PKR Untuk Sambung Pengajian

MELAKA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar akan bercuti daripada tugas rasmi parti sejurus selesai Kongres Nasional Keadilan 2026 bagi melanjutkan pengajiannya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, pihak parti tidak menetapkan sebarang tempoh atau had masa tertentu bagi tempoh percutian berkenaan.

Menurut beliau, kepimpinan parti sentiasa bersikap terbuka dan menyokong penuh hasrat Nurul Izzah untuk menumpukan perhatian terhadap pelajarannya buat masa ini.

“Setakat ini, kita tidak ada memberi had masa kepada Timbalan Presiden untuk bercuti kerana beliau ingin menyambung pelajarannya.

“Insya-Allah kita sedia apabila beliau bersedia untuk meneruskan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai tarikh bermulanya percutian itu, Fuziah menjelaskan bahawa Nurul Izzah akan menyempurnakan segala tanggungjawab rasminya sepanjang penganjuran kongres terlebih dahulu.
Ini termasuklah merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, selain menyertai sesi penggulungan pada penghujung persidangan.

“Timbalan Presiden akan bercuti selepas kongres, iaitu selepas menyelesaikan tugas sewaktu kongres. Maksudnya perasmian AMK, Wanita dan kemudian nanti dalam kongres, penggulungan dan sebagainya. Selepas itu baru Timbalan Presiden akan bercuti,” jelas beliau.

BBerkaitan

Latest articles