Bayi 16 Bulan Maut, Nenek Tiri Didakwa Pijak, Pukul Mangsa

KOTA TINGGI: Kematian seorang bayi lelaki berusia 16 bulan yang pada awalnya didakwa meninggal dunia ketika tidur terbongkar selepas bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat trauma di bahagian perut dan dada.

Lebih mengejutkan, siasatan polis mendapati bayi berkenaan dipercayai menjadi mangsa penderaan oleh nenek tirinya, seorang wanita tempatan berusia 39 tahun yang menjaganya sejak lahir.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, polis menerima laporan daripada wanita itu kira-kira jam 9.30 pagi, 31 Julai lalu, yang mendakwa bayi berkenaan tidak menunjukkan sebarang tindak balas ketika dikejutkan daripada tidur di kediamannya di Taman Sri Saujana, di sini.

Menurutnya, petugas kesihatan yang tiba di lokasi turut melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi.

Siasatan awal kes dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 atas dakwaan pengabaian sehingga menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat mengubah arah siasatan apabila doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat trauma pada bahagian perut dan dada yang dipercayai berpunca daripada hentakan objek tumpul.

“Turut ditemui kesan luka dan lebam pada tubuh mangsa yang dipercayai akibat penganiayaan sehingga menyebabkan kematian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Ab Rahaman berkata, siasatan lanjut mendapati nenek tiri mangsa dipercayai memijak serta memukul bayi itu menggunakan tangan dan kaki.

Mangsa yang merupakan anak tidak sah taraf kepada seorang remaja perempuan berusia 18 tahun diserahkan kepada jagaan wanita terbabit sejak dilahirkan kerana ibunya masih menuntut di kolej.

Susulan penemuan baharu itu, polis mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan menahan nenek tiri, datuk serta ibu mangsa bagi membantu siasatan.

Ketiga-tiga mereka direman sejak 2 Ogos lalu dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.

“Polis mendapat arahan untuk menuduh nenek tiri mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, esok.

“Datuk dan ibu mangsa pula dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles