KUALA LUMPUR: Pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX) oleh Lembaga Tabung Haji (TH) ketika kemuncak kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini menjadi antara persoalan utama berkaitan tadbir urus dan kemungkinan konflik kepentingan dalam badan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata persoalan lebih serius timbul apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH ketika itu turut menganggotai Lembaga Pengarah 1MDB.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada keputusan membeli tanah daripada 1MDB benar-benar dibuat demi kepentingan TH atau mempunyai tujuan lain.
“TH turut membeli tanah di TRX daripada 1MDB ketika kontroversi syarikat itu berada di kemuncaknya.
“Persoalan besar timbul apabila CEO TH ketika itu turut menjadi anggota Lembaga Pengarah 1MDB,” katanya ketika memberi penjelasan pada persidangan khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH, hari ini.
Zulkifli turut mendedahkan persoalan sama timbul dalam pelaburan TH terhadap Putrajaya Perdana Bhd apabila Pengerusi TH ketika itu turut dilantik sebagai pengerusi syarikat berkenaan.
Lebih membimbangkan, katanya, Putrajaya Perdana kemudian terbabit dalam urus niaga dengan 1MDB, manakala TH akhirnya merekodkan kerugian RM145.3 juta.
Beliau berkata, beberapa penemuan RCI itu jelas mengundang persoalan terhadap tahap tadbir urus serta kemungkinan berlakunya konflik kepentingan dalam keputusan pelaburan TH.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada Sabtu lalu menitahkan supaya laporan RCI berhubung TH disiasat secara menyeluruh bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya dan kelemahan sama tidak berulang.
Persidangan khas Dewan Rakyat hari ini diadakan khusus bagi membincangkan laporan RCI setebal 211 muka surat yang diterbitkan pada 29 Julai lalu, meliputi pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Antara penemuan utama RCI ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik serta pengagihan keuntungan yang tidak mengambil kira sepenuhnya susut nilai dan penurunan nilai saksama pelaburan.
Malah, laporan itu mendapati TH sepatutnya mencatat kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan, sekiranya MFRS dilaksanakan sepenuhnya.










