KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menegaskan keputusan ahli-ahli Parlimen parti itu bertindak keluar dewan (walkout) daripada Sesi Penerangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) berpunca daripada ketiadaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat serta kegagalan kerajaan memberi ruang perbahasan yang bermakna.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketiadaan Anwar dalam persidangan khas tersebut amat mengecewakan memandangkan isu RCI berkenaan dibangkitkan sendiri oleh beliau sejak sekian lama, termasuk semasa kempen pilihan raya.
”RCI ini apabila kita dengar ceritanya, bermula dalam kempen pilihan raya di Negeri Sembilan lagi.
“Yang membangkitkan isu ini Perdana Menteri sendiri… banyak cerita dan laporan yang kita dengar di luar sana.
”Tetapi laporan ini sudah tiga tahun diberikan kepada kerajaan. Kalau kata ada orang ‘menyakau’, sampai tiga tahun tunggu pun tiada qlagi orang yang terbukti menyakau seperti yang didakwa. Jadi apa benda yang kita nak bahas?” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hamzah turut menegaskan bahawa rakyat kini hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri akibat kegagalan menjelaskan kebenaran isu berkenaan secara berterus-terang.
”Prinsip kita ialah berterus-terang. Kita nak kerajaan awal-awal lagi membuktikan mereka berterus-terang dalam semua hal termasuk Tabung Haji.
”Apabila akhirnya ia hanyalah penerangan menteri dan tidak akan ada sebarang keputusan dibuat, kita boleh lakukan penjelasan ini melalui sidang media atau kenyataan media. Tidak perlu buang masa,” tegas beliau.
Sementara itu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa pihak pembangkang telah menyerahkan surat rasmi pada 10 Ogos bagi memohon persidangan khas berkenaan ditangguhkan atas alasan teknikal dan ketiadaan Perdana Menteri.
Menurut beliau, mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), Perdana Menteri mempunyai kuasa memanggil sidang khas bagi perkara yang mempunyai faedah awam dan mustahak untuk dibahaskan serta dibuat satu keputusan atau ketetapan.
”Apa yang dipertikaikan oleh kami ialah persidangan khas berkaitan RCI Tabung Haji ini dipanggil oleh Perdana Menteri. Peringkat awal, semua orang menganggap laporan ini perlu dibahaskan dan dibuat satu ketetapan.
”Tiba-tiba pihak kami diberitahu bahawa status laporan ini hanya bertaraf penerangan menteri (ministerial briefing) sahaja. Ia di-‘downgrade’ kepada penerangan yang bila-bila masa dalam sidang biasa pun boleh dibuat,” katanya.
Takiyuddin menambah, tindakan kerajaan mengubah taraf pembentangan itu menjadikan persidangan khas berkenaan tidak wajar, berikutan pemohon asal persidangan iaitu Perdana Menteri sendiri tidak hadir ke dewan.
”Kalau RCI sepenting ini yang diarah sidang khas oleh Perdana Menteri sendiri tetapi beliau tak ada dalam dewan, as good as kita buat sidang media di luar sahaja.
”Sebab itu Ketua Pembangkang dan kami semua mengambil keputusan untuk walkout dari dewan hari ini. Bagaimanapun, ini tidak menghalang pihak pembangkang untuk terus memberi penjelasan dan maklumat kepada rakyat mengenai pandangan kami,” katanya.










