KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tiada aset Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada golongan bukan Islam atau kepentingan dari China seperti yang didakwa pihak tertentu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata aset berprestasi rendah dan bermasalah yang dipindahkan pada 2018 sebenarnya diserahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya kerajaan.
“Tiada aset dijual kepada bukan Islam atau kepada China seperti didakwa pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika membentangkan penjelasan kerajaan mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, sebanyak RM9.7 bilion aset dipindahkan kepada UJSB pada nilai RM19.9 bilion bagi membantu menutup jurang aset dan liabiliti TH yang ketika itu mencecah kira-kira RM10 bilion.
Urus niaga itu membabitkan 100 saham syarikat tersenarai, 29 hartanah serta sebuah syarikat perladangan kelapa sawit dan dibiayai melalui sukuk yang dilanggan sepenuhnya oleh TH.
Zulkifli berkata, TH turut diberikan hak keutamaan membeli semula aset berkenaan sekiranya UJSB mahu menjualnya pada masa depan.
Katanya, mekanisme itu membolehkan TH mengambil semula aset yang berdaya maju selepas kedudukan kewangannya pulih, namun keputusan tersebut tetap tertakluk kepada penilaian komersial.
Sebagai contoh, tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dijual RM400 juta pada 2018 kemudiannya dibeli semula TH pada harga RM270 juta berdasarkan nilai pasaran semasa.
TH turut memperoleh semula aset perladangan kelapa sawit pada harga RM695 juta, termasuk RM115 juta secara tunai, berbanding harga jualan asal RM800 juta.
Zulkifli menegaskan pemindahan aset itu merupakan sebahagian daripada langkah menyelamatkan TH ketika institusi berkenaan berdepan krisis kewangan, bukannya usaha kerajaan untuk mengambil alih aset milik pendeposit.
“TH bukan milik kerajaan hari ini, kerajaan semalam atau mana-mana parti politik. Ia amanah milik umat Islam Malaysia,” katanya.
Dewan Rakyat hari ini mengadakan persidangan khas bagi membincangkan laporan RCI setebal 211 muka surat yang meneliti pengurusan dan operasi TH antara 2014 hingga 2020.
Antara penemuan RCI ialah kelemahan tadbir urus, campur tangan politik serta pengagihan keuntungan yang tidak mengambil kira secukupnya susut nilai pelaburan.
RCI turut mendapati TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan, sekiranya piawaian MFRS dilaksanakan sepenuhnya.










