SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tampil menepis dakwaan kononnya perbadanan itu mengalami kerugian RM103.69 juta selain dibelenggu hutang mencecah RM6.1 bilion.
PKNS menegaskan angka berkenaan tidak boleh dijadikan gambaran menyeluruh terhadap kedudukan kewangannya, malah dakwaan yang cuba menggambarkan perbadanan itu berada dalam keadaan kewangan kritikal adalah tidak tepat serta mengelirukan.
Menurut PKNS, kekuatan kedudukan kewangannya turut disahkan menerusi penilaian bebas RAM Ratings yang sehingga kini mengekalkan penarafan AA1/Stable/P1 terhadap perbadanan berkenaan.
“Penilaian bebas RAM Ratings mengesahkan kedudukan kewangan PKNS kekal kukuh dan terkawal.
“Malah, RAM Ratings masih mengekalkan penarafan AA1/Stable/P1 kepada PKNS,” menurut kenyataan itu.
PKNS berkata, tindakan mengemukakan angka kerugian dan jumlah hutang secara berasingan tanpa mengambil kira struktur pembiayaan serta keseluruhan kedudukan kewangan hanya boleh mengundang persepsi yang tersasar daripada fakta sebenar.
Penjelasan itu susulan dakwaan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini berhubung prestasi kewangan PKNS, termasuk dakwaan kerugian RM103.69 juta dan jumlah hutang RM6.1 bilion.
PKNS bagaimanapun menegaskan angka tersebut perlu dilihat dalam konteks keseluruhan struktur kewangan dan operasi perbadanan, bukannya ditafsir secara terasing sehingga mencetuskan gambaran seolah-olah institusi berkenaan berdepan masalah kewangan serius.
Perbadanan itu turut menekankan bahawa pengekalan penarafan kredit oleh RAM Ratings menjadi antara petunjuk penting yang mencerminkan tahap keyakinan terhadap kedudukan kewangan serta keupayaan PKNS mengurus obligasinya.
PKNS berkata, fakta dan gambaran menyeluruh perlu menjadi asas dalam menilai prestasi kewangannya bagi mengelakkan persepsi yang tidak selari dengan keadaan sebenar.










