PDRM Sedia Sertai AVSEC, Perkukuh Kawalan Keselamatan Lapangan Terbang

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi melaksanakan keputusan Jemaah Menteri yang membabitkan penempatan anggota polis dalam Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) sebagai usaha memperkukuh kawalan keselamatan penerbangan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengangkutan (MOT) serta agensi berkaitan bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Menurut beliau, perincian itu meliputi aspek skop penugasan, lokasi penempatan anggota, keperluan sumber manusia, bidang tanggungjawab serta penyelarasan operasi antara agensi terlibat.

Katanya, penglibatan PDRM dalam ekosistem keselamatan penerbangan dijangka meningkatkan keupayaan perkongsian risikan, pengesanan awal ancaman, penyelarasan penguatkuasaan dan tindakan pantas terhadap sebarang aktiviti jenayah yang cuba mengeksploitasi kemudahan serta prosedur penerbangan.

“Langkah ini akan menjadi sebahagian daripada sistem keselamatan yang lebih menyeluruh dan berlapis, termasuk memperkukuh kawalan akses, prosedur saringan, pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko serta kerjasama strategik antara semua agensi dan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu malam.

Beliau berkata, pendekatan keselamatan yang lebih ketat, bersepadu dan berasaskan risikan diyakini mampu mempertingkat keupayaan pencegahan, mengurangkan risiko keselamatan serta menutup ruang yang boleh dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Khalid turut memberi jaminan bahawa keselamatan penerbangan dan pintu masuk negara akan terus menjadi keutamaan PDRM.

“Sebarang cubaan menjadikan industri penerbangan sebagai saluran kegiatan jenayah tidak akan dikompromi,” tegasnya.

Semalam, jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju menempatkan anggota polis dalam AVSEC sebagai langkah segera memperkukuh keselamatan di lapangan terbang susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah.

BBerkaitan

Latest articles