KUALA LUMPUR: Operasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar di sebuah premis di Puchong, Selangor, didakwa dijalankan tanpa permit serta kelulusan pihak berkuasa tempatan, sekali gus tidak berada dalam rekod pemantauan pensijilan halal Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata premis berkenaan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), manakala rekod operasi dan jualannya juga tidak dipantau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahupun Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Beliau menegaskan, perkara itu dipandang serius kerana melibatkan kepatuhan terhadap hukum syarak, aspek kebersihan serta keyakinan pengguna terhadap status halal bekalan ayam yang berada di pasaran.
“Premis berkenaan disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa permit serta kelulusan pihak berkuasa tempatan dan bukan merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
“Maka, segala rekod operasi dan jualan oleh premis ini tidak berada dalam rekod pemantauan pensijilan halal Jakim dan juga Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas mengenai mekanisme kawal selia, Zulkifli menjelaskan bahawa pensijilan halal Malaysia dilaksanakan secara sukarela, namun pengawasan terhadap premis penyembelihan memerlukan penglibatan pelbagai agensi berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
Katanya, Jakim dengan kerjasama JAIN dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) melaksanakan kawalan melalui proses pensijilan halal, audit serta pemantauan terhadap premis penyembelihan yang memiliki SPHM.
Proses penilaian turut meliputi sumber haiwan, kelayakan penyembelih, kaedah pelalian, prosedur penyembelihan, tahap kebersihan, pengendalian produk serta sistem pengurusan halal yang dilaksanakan.
Dalam pada itu, Jakim terus mempergiat pemeriksaan bersepadu, memperkukuh perkongsian maklumat dan menjalankan siasatan terhadap aduan bagi memastikan kepentingan pengguna serta integriti rantaian bekalan ayam halal terus terpelihara.
Zulkifli berkata, tindakan semakan dan siasatan turut dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan sekiranya terdapat produk atau premis yang disyaki menggunakan logo atau pernyataan halal secara mengelirukan.
Beliau turut menjelaskan bahawa penempatan penyelia halal menjadi antara syarat yang ditetapkan bagi rumah sembelihan yang ingin mendapatkan SPHM.










