Utamakan Rakyat, Bukan Politik – Tuanku Muhriz Titah ADUN Pikul Amanah Dengan Integriti

KUALA PILAH: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 agar meletakkan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi sebarang kepentingan politik mahupun peribadi dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

Bertitah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, hari ini, baginda menegaskan setiap wakil rakyat memikul tanggungjawab besar sebagai suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN), selain bertanggungjawab membawa aspirasi, keperluan serta menyelesaikan pelbagai permasalahan masyarakat.

Menurut baginda, segala dasar, perancangan dan keputusan yang dibuat kerajaan negeri perlu berpaksikan kebajikan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan.

“Kesetiaan dan komitmen kamu hendaklah sentiasa diutamakan kepada negeri dan rakyat yang diwakili, mengatasi sebarang kepentingan politik dan kepentingan peribadi,” titah baginda.

Dalam titah sama, Tuanku Muhriz turut menekankan bahawa Negeri Sembilan memerlukan barisan kepimpinan yang berintegriti tinggi, berpegang teguh kepada prinsip, menjunjung maruah serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam pentadbiran.

Baginda mengingatkan setiap amanah mesti dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan, selain memberi amaran bahawa penyalahgunaan kuasa atau kedudukan bukan sahaja mencemarkan institusi yang diwakili, malah boleh menjejaskan keadilan serta keberkesanan dasar yang digubal untuk rakyat.

Terdahulu, ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan Ismail untuk meneruskan khidmat kepada negeri dengan penuh dedikasi dan integriti, selain meneruskan kecemerlangan pentadbiran terdahulu serta menambah baik segala kelemahan yang wujud.

Pada masa sama, baginda mengingatkan Menteri Besar dan semua ADUN supaya sentiasa menghormati serta taat setia kepada Institusi Diraja, mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan dan mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua ADUN yang menerima mandat rakyat pada PRN Negeri Sembilan ke-16, selain menghargai jasa bekas ADUN dan barisan Exco kerajaan negeri yang telah berkhidmat sepanjang penggal lalu.

Kepada calon yang tewas, Tuanku Muhriz berharap mereka terus menyumbang bakti kepada masyarakat serta memainkan peranan membangunkan Negeri Sembilan walaupun tidak dipilih sebagai wakil rakyat.

Selain aspek pentadbiran, baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus memelihara perpaduan dengan menghormati kepelbagaian agama, kaum dan budaya yang menjadi kekuatan negeri ini.

“Beta percaya bahawa dengan menjunjung nilai hormat-menghormati, toleransi dan semangat muafakat, kita akan dapat memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Inilah asas penting yang akan memastikan Negeri Sembilan terus kekal aman, makmur dan sejahtera untuk dinikmati oleh generasi kini dan akan datang,” titah baginda.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ramlan Harun, mengumumkan keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi.

Susulan keputusan itu, kerajaan baharu Negeri Sembilan dibentuk menerusi kerjasama antara BN dan PN.

BBerkaitan

Latest articles