KUALA LUMPUR: Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak lagi bertanding dalam pilihan raya sekiranya parti itu terus gagal meraih sokongan rakyat sehingga menyebabkan ramai calonnya hilang wang pertaruhan.
Beliau berkata, prestasi buruk Bersatu dalam beberapa pilihan raya negeri kebelakangan ini membuktikan parti itu semakin hilang pengaruh dan tidak lagi relevan dalam landskap politik negara.
“Kalau benar banyak yang hilang deposit, cukuplah. Jangan bertanding lagi kalau akhirnya hilang deposit sekali lagi.
“Bagi saya, kita tidak perlu lagi bercakap mengenai mereka,” katanya pada sidang media selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diumumkan, malam tadi.
Pada PRN Negeri Sembilan, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyaksikan kedua-dua gabungan mengelakkan pertembungan sesama sendiri apabila BN bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki 11 kerusi ditandingi parti-parti komponen PN tanpa penyertaan Bersatu.
Bersatu pula mencatatkan prestasi paling buruk apabila tewas di kesemua 24 kerusi yang ditandinginya, sekali gus merekodkan kekalahan menyeluruh buat kali ketiga berturut-turut selepas menerima nasib sama pada pilihan raya negeri di Johor dan Sabah.
Mengulas mengenai hala tuju kerjasama politik pada masa depan, Hamzah berkata formula kerjasama BN-PN yang diterapkan di Johor dan Negeri Sembilan wajar dikekalkan serta diperluaskan ke negeri lain, termasuk Melaka.
Menurutnya, pengalaman di kedua-dua negeri itu membuktikan pendekatan berkenaan mampu menghasilkan keputusan yang lebih positif berbanding pertandingan secara berasingan.
Sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan, Hamzah beberapa kali menyifatkan kerjasama BN-PN sebagai model politik baharu yang berpotensi menjadi asas kepada kerjasama lebih luas pada pilihan raya akan datang, dengan Wawasan bersedia memainkan peranan sebagai jambatan yang mengukuhkan hubungan antara kedua-dua gabungan.
Ditanya sama ada keputusan PRN Negeri Sembilan memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan, Hamzah enggan membuat kesimpulan dan menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri.
“Kalau Perdana Menteri sendiri memahami keadaan itu, maka biarlah Perdana Menteri sendiri yang menjelaskannya,” katanya.










