Oleh Aiman Zain
1 Ogos 2026- Barisan Nasional berjaya merampas Negeri Sembilan dari Pakatan Harapan (PH) dengan kemenangan 25 kerusi DUN sekaligus membentuk kerajaan BN-PN Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.
Lebih mengejutkan tewasnya dua pemimpin besar PH iaitu Datuk Seri Aminuddin bekas MB Negeri Sembilan di Linggi, dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut tertiarap mengejut ‘walau sudah menyenduk bihun untuk pengundi’ di kubu kuatnya di Dun Chennah.
Gelombang apakah ini? PH gagal membendung kemaraan BN dalam PRN Johor dan kini di Negeri Sembilan pula. Adakah kerana PH tidak tunai janji? Bukan…bukan salah PH. Tetapi kerana satu formula persefahaman yang ampuh telah dirintis antara dua parti besar Melayu iaitu UMNO dan PAS (BN-PN) dalam menghadapi PRN ini.
Pokok pangkalnya siapakah sosok yang mengepalai persefahaman ini? Siapakah orangnya yang berjiwa besar untuk berjabat tangan dengan pemimpin bangsa Melayu yang lain. Siapakah orang yang mengalah dan berkorban melupakan sengketa lama. Siapa? Tidak lain tidak bukan ia adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bangsa Melayu telah berpecah sekian lama. Sesuatu tika dahulu para pemimpin ini gagal disatukan kerana keegoan yang tebal.
Hari ini Zahid telah menundukkan keegoan pemimpin bangsa Melayu setelah berpuluh tahun berpecah belah, berparti-parti dan berkabilah-kabilah. Malah komposisi orang Melayu diracik-racik dengan tertubuhnya parti-parti baharu.
Melayu dipisahkan oleh fahaman nasionalisme dan Islamisme. Siapa sangka setelah puluhan tahun sejak merdeka PAS memusuhi UMNO, tapi dengan Zahid, dua parti besar Melayu berjaya disatukan.
Ini sudah teruji dalam PRN Johor dengan BN menang besar hasil dokongan mengundi PN kepada BN. Malam ini (semalam) sekali lagi membuktikan Melayu ini dicincang tidak akan putus. Sokongan pengundi serta ahli PAS dan Wawasan kepada BN, juga sokongan ahli dan pengundi BN kepada PAS dan Perikatan tidak berbelah bagi dan hasilnya Negeri Sembilan sebuah kerajaan majoriti Melayu ditubuhkan.
BN menang di DUN BN bertanding, PN menang di DUN PN bertanding.
Magis ini tak mungkin dapat dicipta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahupun (Tan Sri) Mahiaddin Yassin, hanya seorang sosok yang bernama Zahid sahaja yang mampu mencipta rekod penyatuan ini.
Jika diteliti sejarah dan track rekod, Zahid adalah insan yang merintis Muafakat Nasional (MN) pada tahun 2019 di PWTC.
Persafahaman antara seorang bapa bangsa Melayu Ahmad Hamidi dan Tan Sri Tuan Guru Haji Hadi Awang merupakan petanda berakhirnya perang saudara antara orang orang Melayu. Inilah pendamaian yang dinantikan bertahun oleh orang Melayu.
Detik 1 Ogos 2026 menjadi saksi orang Melayu sudah bijak mengundi tidak lagi memilih warna merah, biru, mahupun hijau tetapi sudah pandai memilih calon bangsanya sendiri.
Ingatlah kali terakhir Melayu bersatu padu pada era pejuangan menuntut kemerdekaan melawan penjajah, kali ini Zahid mencipta sejarah dengan berkat bulan kemerdekaan ini semangat penyatuan Melayu itu dalam PRN Negeri Sembilan.
Penyatuan ini di sambut baik oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang yang berlapang dada menyambut perjabatan tangan dari UMNO dan Barisan Nasional. Inilah yang orang Melayu inginkan, dambakan dan impikan apabila para pemimpin Melayu yang bersongkok dan berkopiah dalam sebaris dalam saf yang sama membangunkan agama bangsa dan negara.
Persefahaman ini telah berjaya di Johor. Tapi di Johor BN memang menguasai kerajaan negeri, tetapi di Negeri Sembilan ternyata Penyatuan Melayu ini mampu merampas Negeri Sembilan dari Pakatan Harapan dan DAP.
Pertahankan persefahaman politik ini kerana rakyat dan pengundi hanya mahu bangsanya bersatu-padu.
Penulis ialah mahasiswa yang juga ahli UMNO Gen-z










