BN Janji Tadbir N. Sembilan Dengan Politik Sederhana, Perpaduan Jadi Teras Pentadbiran Baharu

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berikrar untuk menerajui pentadbiran baharu Negeri Sembilan berlandaskan politik kesederhanaan, tadbir urus yang baik serta memperkukuh perpaduan antara kaum selepas diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kemenangan yang diraih gabungan itu bukan sekadar satu kejayaan politik, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti, tanggungjawab dan keikhlasan demi kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

Menurutnya, BN yang dianggotai lima parti komponen akan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Negeri Sembilan terus kekal sebagai sebuah negeri yang stabil, maju, inklusif dan makmur untuk generasi masa kini serta akan datang.

“BN menerima kemenangan ini dengan penuh rasa syukur dan tawaduk. Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat akan diterjemahkan melalui pentadbiran yang bertanggungjawab, berorientasikan rakyat dan berpaksikan prinsip kestabilan serta kemajuan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada PRN semalam, BN muncul sebagai parti yang memenangi kerusi terbanyak apabila memperoleh 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 11 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tujuh kerusi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri baharu akan dibentuk menerusi sokongan majoriti 25 kerusi DUN hasil kerjasama antara BN dan PN.

Mengulas lanjut, Zambry berkata keputusan itu membuktikan rakyat Negeri Sembilan terus meletakkan keyakinan terhadap pendekatan politik sederhana, kestabilan dan perpaduan yang dibawa BN.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Orang Asli serta semua lapisan masyarakat yang memberikan kepercayaan kepada gabungan berkenaan.

“Keputusan ini menunjukkan rakyat Negeri Sembilan terus meletakkan keyakinan kepada pendekatan politik sederhana, stabil dan berteraskan perpaduan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias atas kepimpinan dan komitmen mereka menggerakkan jentera parti sehingga membawa kepada kemenangan dalam PRN kali ini.

Zambry turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN dari seluruh negara, para sukarelawan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan, petugas media serta semua pihak yang memainkan peranan memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan lancar dan teratur.

Beliau menegaskan BN akan memastikan mandat yang diberikan rakyat diterjemahkan melalui pentadbiran yang mengutamakan kebajikan rakyat, memperkukuh perpaduan serta memacu pembangunan Negeri Sembilan secara mampan.

BBerkaitan

Latest articles