WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan satu persetujuan yang disifatkannya sebagai bersejarah telah dicapai bagi melaksanakan pelucutan senjata sepenuhnya terhadap Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza, sekali gus membuka laluan kepada pengunduran tentera Israel secara berperingkat.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di platform Truth Social pada Khamis, Trump berkata proses itu akan dilaksanakan mengikut beberapa fasa yang telah dirangka bagi memastikan peralihan keselamatan di wilayah berkenaan berjalan lancar.
Menurut beliau, sebaik sahaja proses pelucutan senjata diselesaikan, tentera Israel akan mula berundur daripada Gaza, manakala Pasukan Penstabilan Antarabangsa akan mengambil alih tanggungjawab keselamatan bersama pasukan polis Palestin yang baharu.
“Pasukan itu akan memastikan Gaza kekal selamat demi kepentingan rakyat Palestin serta negara-negara jiran,” katanya.
Trump menyifatkan persetujuan berkenaan sebagai satu pencapaian penting dalam pelaksanaan pelan damai 20 perkara yang diperkenalkannya bagi Gaza.
Beliau turut memaklumkan bahawa Gaza akhirnya akan ditadbir oleh sebuah kerajaan Palestin baharu yang akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Keamanan bagi membantu membangunkan semula wilayah itu serta meningkatkan kesejahteraan penduduknya.
Dalam kenyataan sama, Trump merakamkan penghargaan kepada Mesir, Qatar dan Türkiye atas peranan mereka sebagai pengantara dalam rundingan tersebut.
Menurutnya, kerjasama negara-negara berkenaan bersama pasukan pentadbirannya menjadi antara faktor utama yang membawa kepada kejayaan persetujuan itu.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada Hamas atau kerajaan Israel yang mengesahkan pengumuman tersebut.










