SEREMBAN: Penyelaras Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gubard, mendakwa sikap ego Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjadi punca tercetusnya kemelut politik yang menggugat kestabilan pentadbiran negeri.
Menurutnya, kepimpinan Aminuddin bukan sahaja gagal mengurus pentadbiran dengan baik, malah didakwa tidak menghormati adat serta tata kelola negeri sehingga mencetuskan ketegangan dalam kerajaan.
Che’gubard turut mendakwa tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menarik sokongan sebelum ini bukan kerana mahu menamatkan kerjasama politik, sebaliknya sebagai bantahan terhadap cara pentadbiran yang didakwanya dikuasai PKR.
“Kemelut dan pembubaran ini berlaku kerana mahu menyelamatkan ego kepimpinan yang gagal mentadbir negeri serta tidak menghormati adat.
“Penarikan sokongan bukan untuk keluar daripada kerjasama, tetapi sebagai bantahan terhadap sikap sombong PKR yang enggan bertolak ansur,” katanya ketika berucap pada Ceramah Biru-Kan Sikamat, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Che’gubard menjelaskan beliau tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini selepas dikenakan denda maksimum RM5,000 mengikut Akta Hasutan oleh mahkamah baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu tidak akan menghalangnya daripada terus lantang memperjuangkan isu rakyat dan mengkritik pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau turut menggesa pengundi Negeri Sembilan supaya membuat perubahan dengan menolak pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada PRN, 1 Ogos ini, bagi mengembalikan kestabilan politik negeri.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Sikamat menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Abu Samah; calon PH, Nor Azman Mohamad; serta Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang bertanding atas tiket Bersatu.










