Polis Siasat Video Dakwa Istana Negeri Sembilan Dipengaruhi Parti Politik

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan membuka kertas siasatan berhubung satu video yang tular di TikTok memaparkan dakwaan bahawa institusi diraja Negeri Sembilan dikawal oleh sebuah parti politik.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas polis menerima laporan berhubung rakaman video berkenaan dan kini sedang meneliti kandungan serta konteks penuh ucapan yang dimuat naik di media sosial.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan ketenteraman awam.

Alzafny turut menasihatkan pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab dan mengelakkan kenyataan menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang berpotensi mencetuskan keresahan dalam masyarakat.

Terdahulu, Istana Negeri Sembilan menegaskan institusi diraja negeri itu kekal berkecuali serta tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, selain mengingatkan semua pihak agar tidak mengaitkan istana dalam ceramah atau kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan institusi diraja atau menjadikannya sebagai bahan kempen menjelang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

BBerkaitan

Latest articles