Ratusan Rohingya Dibawa Ke IPK Kuala Lumpur Untuk Semakan Status

KUALA LUMPUR: Ratusan pelarian etnik Rohingya yang sebelum ini berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada malam Isnin bagi menjalani proses semakan identiti.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan operasi pemindahan itu membabitkan semua warga asing yang berada di lokasi berkenaan.

Operasi yang bermula kira-kira jam 8.20 malam itu pada asalnya menggunakan dua trak polis, namun jumlah kenderaan ditambah kepada empat selepas didapati kebanyakan pelarian membawa bersama beg pakaian dan pelbagai barangan peribadi.

Difahamkan, sebaik tiba di IPK Kuala Lumpur, kesemua mereka akan melalui proses pengesahan identiti dan dokumentasi sebelum pihak berkuasa menentukan tindakan selanjutnya.

Menurut sumber, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka mengambil alih penyelarasan kes itu pada Selasa dengan memberi tumpuan kepada pengesahan status setiap individu, termasuk mengenal pasti mereka yang mempunyai dokumen UNHCR yang masih sah.

Sumber itu berkata, pelarian yang berjaya membuktikan status mereka dijangka ditempatkan di lokasi yang bersesuaian, manakala individu yang gagal mengemukakan kad UNHCR atau tidak dapat membuktikan status pelarian akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Mereka kemudiannya akan ditempatkan di depoh tahanan imigresen sebelum melalui proses penghantaran pulang ke negara asal mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana kumpulan pelarian yang menjejaskan ketenteraman awam atau cuba menguasai mana-mana kawasan.

Beliau turut mengarahkan semua agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT), supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Sebelum ini, kumpulan pelarian Rohingya terbabit dilaporkan tiba di ibu negara dengan menaiki tiga bas sebelum berhimpun di hadapan pejabat UNHCR bagi mendapatkan bantuan selepas meninggalkan penempatan mereka di Kampung Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang.

BBerkaitan

Latest articles