Elak Undi Melayu Berpecah, Kerjasama BN-PN Dijangka Rampas N. Sembilan

KUALA LUMPUR: Kerjasama pilihan raya antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang mengelakkan perpecahan undi Melayu dijangka menjadi faktor utama membolehkan kedua-dua gabungan itu menawan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 1 Ogos ini.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, meramalkan BN dan PN mampu membentuk kerajaan negeri dengan memenangi antara 23 hingga 25 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut ahli DAP itu, kerjasama pilihan raya antara BN dan PN berpotensi menghimpunkan lebih 70 peratus sokongan pengundi Melayu kepada kedua-dua gabungan sekali gus mengelakkan undi dalam kalangan pengundi Melayu berpecah seperti pilihan raya sebelum ini.

Katanya, keadaan itu memberikan kelebihan besar kepada calon BN dan PN, terutama di kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu dan sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) akibat pertembungan pelbagai penjuru.

Dalam analisis terbaharunya, Ong mengunjurkan PH hanya mampu memenangi antara 11 hingga 13 kerusi, dengan PKR dijangka memperoleh hanya satu kerusi manakala baki kerusi dimenangi DAP.

Unjuran itu dibuat berdasarkan jangkaan kadar keluar mengundi sebanyak 80 peratus dalam kalangan pengundi Melayu, 65 peratus pengundi Cina, 60 peratus pengundi India dan 65 peratus bagi kaum lain.

Pada PRN kali ini, PH bertanding secara solo di semua 36 kerusi, manakala BN bertanding di 25 kerusi menerusi kerjasama dengan PN yang diwakili PAS di baki 11 kerusi tanpa berlaku pertembungan sesama mereka.

Sementara itu, Bersatu yang masih merupakan komponen PN memilih bertanding secara berasingan di 24 kerusi menggunakan logonya sendiri.

Ong turut mengenal pasti 10 kerusi yang disifatkan sebagai medan pertempuran paling sengit iaitu Chennah, Klawang, Serting, Jeram Padang, Temiang, Sikamat, Ampangan, Linggi, Sri Tanjung dan Repah.

Beliau menjangkakan BN berpeluang memenangi Jeram Padang dan Linggi, manakala PN berpotensi menguasai Klawang, Serting, Sikamat serta Ampangan.

Bagaimanapun, kerusi Chennah yang menyaksikan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, mempertahankan kerusinya berdepan calon BN, Siow Kong Choon, disifatkan terlalu sengit untuk diramalkan.

Menurut Ong, sentimen anti-DAP dan anti-PH dalam kalangan pengundi Melayu boleh menjadi cabaran besar kepada Loke, manakala perubahan sokongan pengundi Orang Asli pula berpotensi memberi kelebihan tipis kepada BN.

Beliau turut berpandangan Bersatu mungkin memainkan peranan sebagai ‘pengacau’ di beberapa kawasan dengan menarik sebahagian undi daripada BN atau PH, namun kesannya dijangka tidak cukup besar untuk mengubah keputusan di kebanyakan kerusi.

Mengulas prestasi PH, Ong berkata sokongan terhadap gabungan itu di Negeri Sembilan terus merosot sejak 2018 apabila memperoleh 53 peratus undi popular dan memenangi 20 kerusi ketika Bersatu masih berada dalam PH.

Katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 2022, sokongan PH menurun kepada 44.4 peratus yang hanya bersamaan 17 kerusi DUN, berbanding 18 kerusi dimenangi BN dan satu kerusi oleh PN.

Menurutnya, PH hanya dapat terus mentadbir Negeri Sembilan selepas PRN 2023 menerusi kerjasama pembahagian kerusi dengan BN yang menyaksikan PH memenangi 17 kerusi manakala BN memperoleh 14 kerusi.

BBerkaitan

Latest articles