Anwar Dedah 50 Ekar Tanah Rizab Melayu Baharu Di KL, Dakwa Pertama Sejak Merdeka

GEMAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan MADANI tidak pernah mengabaikan kepentingan Bumiputera, khususnya orang Melayu, sambil mendedahkan kejayaan mewujudkan tanah rizab Melayu baharu di Kuala Lumpur buat pertama kali sejak negara mencapai kemerdekaan.

Menurut beliau, langkah itu direalisasikan selepas kerajaan mengambil semula kawasan Bandar Malaysia seluas 480 ekar yang sebelum ini dikaitkan dengan pemilikan syarikat swasta dan kepentingan asing kerana didakwa melanggar peraturan.

Katanya, kawasan berkenaan kemudiannya diletakkan di bawah pengurusan Petronas dan Khazanah Nasional sebelum kerajaan memutuskan untuk mewartakan 50 ekar daripada tanah tersebut sebagai tanah rizab Melayu.

“Sejak Merdeka pada 1957, tiada tanah rizab Melayu baharu diwujudkan di Kuala Lumpur. Yang berlaku hanyalah tanah rizab sedia ada dijual.

“Selepas kerajaan mengambil semula tanah Bandar Malaysia pada 2023, saya putuskan supaya 50 ekar daripada kawasan paling bernilai di Kuala Lumpur itu dijadikan tanah rizab Melayu,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Anwar turut menjelaskan bahawa cadangan mewartakan tanah berkenaan sebagai rizab Melayu mendapat persetujuan Jemaah Menteri tanpa sebarang bantahan, termasuk daripada DAP.

Beliau berkata, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hanya meminta penjelasan mengenai rasional cadangan tersebut.

“Saya jelaskan bahawa keluasan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur semakin berkurangan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mempertahankannya. Selepas penjelasan itu, beliau bersetuju.

“Malah, dalam mesyuarat Jemaah Menteri tiada seorang pun yang membantah. Maka, buat pertama kali sejak 1957, kerajaan MADANI mengisytiharkan tanah paling bernilai di Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles